Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Had biaya maksimum RM1 juta LPPSA mampu kurangkan isu rumah tidak terjual -- REHDA

KUALA LUMPUR, Sept 23 - President of REHDA Malaysia Datuk Zaini Yusoff speaks to media during the briefing of REHDA property industry survey 1H2026 and market outlook for 2H 2026 and 1H 2027 at Wisma REHDA today. - fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Presiden REHDA Datuk Zaini Yusoff berkata peningkatan had berkenaan juga dapat membantu kalangan penjawat awam membeli hartanah berikutan semakin banyak kediaman ditawarkan dalam julat harga RM750,000 hingga RM1 juta seunit. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan menaikkan had maksimum kelayakan pembiayaan perumahan di bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) kepada RM1 juta daripada RM750,000 dijangka mengurangkan bilangan hartanah kediaman siap belum terjual, menurut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

Presiden REHDA Datuk Zaini Yusoff berkata peningkatan had berkenaan juga dapat membantu kalangan penjawat awam membeli hartanah berikutan semakin banyak kediaman ditawarkan dalam julat harga RM750,000 hingga RM1 juta seunit.

“Ini sudah pasti dapat membantu. Bagi saya, mungkin ini juga alasan kerajaan menaikkan had itu berikutan banyak rumah kini berharga RM750,000 hingga RM1 juta seunit.

“Sebelum ini, anda boleh membeli rumah pada harga kira-kira RM500,000 hingga RM600,000. Oleh itu, apabila ada perubahan ini, bagi saya, ini dapat membantu mengurangkan jumlah kediaman belum terjual,” katanya pada sesi taklimat media mengenai Tinjauan Industri Hartanah REHDA bagi tempoh separuh pertama 2026 di sini, hari ini.

Di bawah Belanjawan 2026, kelayakan pembiayaan maksimum LPPSA telah dinaikkan kepada RM1 juta selaras dengan pelarasan gaji sektor awam selain faktor harga pasaran hartanah.

Pembiayaan bagi rumah kedua di bawah LPPSA juga ditawarkan dan dijangka mula berkuat kuasa pada suku keempat 2026.

Mengulas selanjutnya, Zaini berkata impak pelaksanaan had pembiayaan yang lebih tinggi itu juga dapat dilihat dari segi bilangan unit kediaman tidak terjual pada separuh pertama 2027.

“Saya rasa kita pasti akan mengambil kira perkara itu dan diharapkan angka berkenaan akan berubah,” katanya.

Dalam pada itu, dapatan tinjauan REHDA berkenaan mendapati sebanyak 33 peratus daripada unit kediaman siap belum terjual itu berharga lebih RM1 juta seunit manakala dalam julat harga RM500,001 hingga RM600,000 dan antara RM700,001 hingga RM800,000 masing-masing menyumbang sebanyak 11 peratus.

Tinjauan itu turut menunjukkan 59 peratus responden melaporkan unit kediaman siap belum terjual setakat 30 Jun dengan penolakan pinjaman pembiayaan akhir sebagai alasan utama pada 30 peratus dan seterusnya harga yang tinggi sebanyak 21 peratus manakala unit bumiputera belum dilepaskan sebanyak 16 peratus.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement