Perbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) akan mengeluarkan surat yang meminta lapan bekas pegawainya memulangkan semula bayaran pampasan sebanyak RM2.6 juta, esok (Isnin).

"Surat itu akan dihantar esok," kata seorang pegawainya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini, sambil mengesahkan perkara tersebut.

Susulan penerimaan surat tersebut, kesemua bekas pegawai terbabit perlu mengembalikan wang pampasan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat berkenaan dikeluarkan.

Semalam, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali telah meminta lapan bekas pegawai bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memulangkan semula wang pampasan berjumlah RM2.6 juta yang telah dibayar kepada mereka.

Menurut Bernama, beliau mendakwa pembayaran wang pampasan itu sebelum ini tidak mengikut prosedur serta melanggar peraturan kewangan.

Terdahulu, lapan pegawai kontrak bekas menteri besar yang dilantik MBI, dilaporkan menerima bayaran pampasan kerja bernilai RM2.6 juta.

Pembayaran itu dikatakan telah dibuat pada penghujung tempoh perkhidmatan Abdul Khalid sebelum Mohamed Azmin mengambil alih jawatan menteri besar berkuat kuasa 23 Sept lepas.

Bagaimanapun Azmin memaklumkan akan tetap membayar lapan bekas pegawai MBI itu dengan bayaran pampasan mengikut jumlah yang bersesuaian.

Usaha untuk menghubungi Abdul Khalid bagi mendapatkan ulasan berhubung perkara ini tidak berhasil.