Skip to main content

Politik

'MCA bukanlah rakan kongsi senyap' - Najib

61444531197_najibmca.jpg
MCA bukanlah rakan kongsi parti komponen yang hanya senyap dan tidak melakukan apa-apa, demikian tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebaliknya, beliau berkata parti komponen kedua terbesar BN itu sentiasa menyuarakan pandangan mereka atas pelbagai isu nasional terutama yang berkaitan dengan masyarakat Cina melalui saluran yang betul dan di dalam sistem BN yang ada seperti dalam mesyuarat Kabinet dan mesyuarat Majlis BN.

"Suara masyarakat Cina disampaikan melalui MCA. MCA bagi pendapat secara berhemah dan bukan dengan cara biadap, namun tegas.

"Apa jua isu, sama ada demonstrasi baju kuning atau baju merah, insiden (Plaza) Low Yat dan 1MDB, MCA sentiasa memberi pandangan mereka.

"Saya menghormati pandangan mereka. Tak betul kalau DAP cakap MCA sebagai rakan tidak aktif," katanya dalam ucaptama semasa merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan ke-62 MCA di Wisma MCA, di sini.

Beliau juga berkata bekerja dalam lingkungan sistem bagi menangani sesuatu isu adalah lebih berkesan dan dihormati daripada menjerit dan bercakap mengenainya di luar.

Malah, Najib juga mahu MCA terus bergerak kehadapan dengan mengembalikan semula sokongan kaum Cina kepada parti itu serta BN.

Najib berkata beliau juga mahu masyarakat Cina berada dalam arus perdana bagi membangunkan negara.

"Saya memerlukan sokongan masyarakat Cina untuk menjadi rakan kongsi utama dalam politik, ekonomi dan pembangunan sosial di negara ini.

"Jika kita bersama-sama, kita boleh mencapai sesuatu yang lebih besar untuk Malaysia," katanya.

Tambah Najib, beliau selaku Presiden UMNO akan terus komited mempertahankan permufakatan antara parti komponen yang telah terbina sejak dahulu kala.

.

Must Watch Video