KUALA LUMPUR:Pucuk pimpinan MCA terkilan dengan laporan bahawa Tan Sri Annuar Musa telah dipecat sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).

Dalam satu kenyataan, pimpinan tertinggi parti komponen BN itu menjelaskan, hanya mengetahui perkara tersebut melalui laporan media.

Kenyataan itu menegaskan, pemecatan Annuar tidak pernah dirundingkan sesama parti komponen dalam BN mahupun diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN.

"Setakat ini, MCA masih tidak dapat mengesahkan kesahihan berita mengenai penyingkiran Annuar sebagai Setiausaha Agung BN.

"Pada hemat parti MCA, sebarang pelantikan ke jawatan dalam BN, ia perlu dibuat berlandaskan Perlembagaan BN dan secara konvensinya pencalonan ini haruslah dibentangkan serta dipersetujui secara konsensus di dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

"Begitu juga dengan sebarang pemecatan mana-mana pihak daripada jawatan seperti Setiausaha Agung dan Bendahari Agung BN," jelas kenyataan itu lagi.

[LAPOR LANGSUNG] Kemelut UMNO? Mana hala tuju menjelang PRU15

BACA: Pemecatan Annuar Musa: UMNO semakin tidak sabar lagi nak PRU- Penganalisis politik

BACA: 
Annuar Musa tidak dipecat, beliau diganti - Ahmad Maslan

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan bahawa Annuar tidak dipecat daripada jawatan Setiausaha Agung BN sebaliknya beliau digantikan termasuk jawatan dalam Muafakat Nasional (MN).

Tambah Ahmad, ia adalah perkara biasa dimana jawatan Setiausaha Agung dipegang oleh individu yang sama.

Dalam pada itu, MCA masih belum mendapat sebarang notis Mesyuarat Dewan Tertinggi BN sekali gus tiada ulasan lanjut yang boleh dibuat pada ketika ini.