LENGGONG: Mana-mana parti politik harus membuktikan kemenangan mereka dalam pilihan raya terlebih dahulu sebelum mendakwa mempunyai kekuatan masing-masing.

Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini kerana kekuatan sesebuah parti politik itu bersandar pada jumlah sokongan pengundi dan bukannya sekadar melalui dakwaan.

“Dalam mana-mana mesyuarat UMNO pun saya akan beritahu kepada ahli bahawa kita harus menang pilihan raya terlebih dahulu, baru kita boleh tahu kekuatan parti kita.

“Jadi kalau sebelum pilihan raya, kita tidak boleh kata kita kuat. Selepas menang pilihan raya, baru boleh kata parti kita kuat.

“Cuma di Perak ini saya tidak tahu berapa cawangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang ada. Untuk UMNO Perak kita mempunyai 1,711 cawangan dengan 24 bahagian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lenggong di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi Mara Lenggong di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Perak yang mendakwa parti itu sudah memperoleh sokongan umum termasuk daripada kalangan ahli UMNO.

Ketua Pejuang Perak, Mior Nor Haidir Suhaimi dilaporkan berkata, sokongan dan sambutan yang diterima parti berkenaan daripada pengundi di negeri itu disifatkan baik.

Dalam pada itu, Saarani berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ada pihak daripada parti lain yang akan ‘menangguk di air keruh’ dengan mendekati ahli-ahli UMNO dengan harapan dapat bersama dengan parti mereka.

Bagaimanapun, Saarani yang juga Menteri Besar Perak yakin ahli-ahli UMNO di negeri itu mempunyai kekuatan jati diri untuk teguh bersama dengan parti.

“Dalam keadaan kita menjadi pembangkang pun ahli UMNO di Perak kekal dengan UMNO, apatah lagi apabila kita menjadi sudah kerajaan. 

“Berkenaan dengan dakwaan Pejuang itu tidak mengapa, dan mereka boleh mengaku (membuat pelbagai dakwaan). Akan tetapi saya tetap yakin di Perak, khususnya orang Melayu lebih cenderung untuk menyokong dan memberi kekuatan kepada UMNO,” ujar beliau.