IPOH: Parti Keadilan Rakyat (PKR), akan menggempur beberapa kawasan di Perak yang dianggap telah mengkhianati mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Timbalan Pengerusi PKR Perak, Mohamed Hairul Amir Sabri berkata, sebagai permulaan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berada di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kurau pada 8 Oktober ini sempena Himpunan Harapan Perak Bangkit dengan beberapa siri ceramah.

Menurutnya, Timbalan Presiden, Rafizi Ramli juga akan turun ke beberapa kawasan seperti di Parlimen Tanjung Malim, Tapah dan Tambun di samping DUN Tualang Sekah.

"Dalam siri jelajah beliau (Anwar) ke beberapa kawasan pengkhianat, beliau membawa mesej kepada rakyat bahawa PKR mengecam tindakan mengkhianati mandat rakyat pada PRU yang lepas,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Pejabat PKR Perak, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Pilihan Raya PKR negeri yang juga ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing.

Mohamed Hairul Amri berkata, PKR Perak yakin Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang cerah untuk menawan semula negeri Perak dan kerajaan Persekutuan pada PRU15.

Minggu lalu, Anwar membayangkan beliau akan meninggalkan kerusi Port Dickson dan bakal bertanding di Parlimen di mana wakil rakyatnya sekarang adalah pengkhianat PKR.

Pada Ahad pula, DAP Perak turut mengalu-alukan Anwar untuk bertanding di Perak pada PRU15, dalam usaha PH untuk menawan negeri ini.

Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, ketokohan Presiden PKR itu amat diperlukan untuk mencapai matlamat tersebut.