KANGAR: Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyatakan bahawa dirinya tidak mahu memberikan sebarang komen atau kenyataan terhadap isu-isu yang berbentuk spekulatif atau daripada sumber yang tidak jelas.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia itu, ia termasuklah sebarang ulasan mengenai pertemuan membabitkan perjumpaan khas Presiden dan ketua-ketua bahagian UMNO semalam yang dikatakan mencapai persetujuan untuk tarikh pilihan raya dipercepatkan.

Beliau menegaskan, ahli-ahli serta pimpinan UMNO juga perlu mengelak daripada membincangkan perkara yang tidak jelas asasnya agar tidak menimbulkan sebarang polemik yang negatif.

Annuar turut menzahirkan keyakinan bahawa pucuk pimpinan UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai kebijaksanaan dalam menguruskan hal-hal membabitkan masa hadapan parti termasuk perlaksanaan Pilihanraya Umum (PRU).

"Contohnya, semalam katanya ada berita yang kata. ada desakan untuk YAB PM kononnya campur tangan dalam hal mahkamah dan sebagainya, lepas itu (Ketua Pemuda UMNO), Dato Asyraf Wajdi menafikan pulak perkara itu,

"Jadi kadang-kadang kita bincang sesuatu yang tidak jelas yang boleh menimbulkan polemik yang negatif, saya rasa (itu) patut dielakkan, yang penting ketika ini saya rasa adalah ahli parti dan juga saya percaya pucuk pimpinan parti dalam usaha untuk menguruskan hal hal berkaitan dengan masa depan parti termasuk pilihan raya.

"Saya juga berkeyakinan pucuk pimpinan parti dan Perdana Menteri mempunyai kebijaksanaan sendiri untuk uruskan perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis perasmian Kompleks Jabatan Penyiaran Malaysia Perlis, di Kangar pada Selasa.

Terdahulu, Ismail Sabri menyatakan bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai laporan desakan ketua-ketua bahagian UMNO meminta PRU15 diadakan segera, memandangkan dirinya tidak hadir pada pertemuan yang berlangsung di ibu pejabat UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur semalam.

Ia susulan terdapat media memetik Ketua UMNO Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos sebagai berkata majoriti ketua bahagian UMNO bersetuju supaya PRU15 diadakan secepat mungkin.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri turut menafikan terdapat desakan untuk beliau campur tangan.