MIC kini perlahan-lahan kembali mendapat sokongan daripada masyarakat India dengan pembabitan generasi mudanya terutama golongan profesional.

Penyelaras Putera MIC Kebangsaan dan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) P. Kamalanathan berkata beliau sendiri terlibat dalam kemasukan golongan profesional India dalam MIC, yang mereka menyumbang semula kepada masyarakat.

"Sayap Putera MIC dibarisi golongan muda profesional seperti doktor, jurutera dan peguam yang menyertai kami untuk bekerja bersama-sama masyarakat India.

"Mereka akan turun kawasan, mendengar dan membantu mereka yang memerlukan dan saya yakin lebih ramai kaum India akan menyertai MIC," katanya kepada Bernama.

Kamalanathan berkata walaupun matlamat meraih kembali sokongan masyarakat India masih jauh di hadapan, beliau tetap yakin parti itu akan mendapat lebih banyak sokongan daripada masyarakat India memandangkan masalah dalaman parti telah diselesaikan.

Beliau juga berkata kali ini, presiden parti yang baharu dipilih Datuk Seri S. Subramaniam akan dapat memperkukuh MIC dengan parti komponen Barisan Nasional.

Kamalanathan, yang juga Anggota Parlimen Hulu Selangor berkata: "Bersama beliau (Subramaniam) selaku pemimpin baharu parti, MIC akan bertambah kuat dan kukuh".

Beliau menambah parti itu masih berharap sebahagian anggota cawangan kembali kepada parti selepas keahlian mereka dibatalkan MIC kerana enggan mengambil bahagian dalam pemilihan parti Julai lepas.

"Kami masih berharap mereka (anggota cawangan) akan kembali kepada parti dan menyertai kami sekali lagi untuk membantu masyarakat India," katanya.

Dilaporkan 800 anggota cawangan tidak mengambil bahagian dalam pemilihan MIC kerana mereka menyatakan sokongan kepada bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel.