Skip to main content

Politik

MIC pergiat usaha fokus perkasa keusahawanan masyarakat India - Saravanan

KUALA LUMPUR, 26 Julai -- Naib Presiden MIC, Datuk Seri M Saravan ditemu bual media pada acara larian sejauh lima kilometer sempena ulang tahun MIC ke-80 di Tasik Titiwangsa hari ini._BERNAMA
Saravan ditemu bual media pada acara larian sejauh lima kilometer sempena ulang tahun MIC ke-80 di Tasik Titiwangsa hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Melangkah ke dekad kesembilan penubuhannya, MIC akan mempergiat usaha melahirkan lebih ramai usahawan dan golongan korporat dalam kalangan masyarakat India sebagai fokus utama fasa baharu perjuangan parti itu.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan berkata masyarakat India kini semakin aktif menceburi bidang perniagaan, termasuk melalui platform dalam talian yang turut membuka peluang kepada golongan suri rumah menjana pendapatan.

“Perjuangan MIC dalam bidang pendidikan telah membuahkan hasil dan kini kita memberi tumpuan kepada bidang perniagaan, iaitu bagaimana mahu melahirkan golongan korporat dalam kalangan masyarakat India,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan pelepasan lebih 400 peserta larian 5 kilometer sempena Ulang Tahun ke-80 MIC di Taman Tasik Titiwangsa yang turut diadakan serentak di 137 bahagian parti itu di seluruh negara.

Namun begitu, katanya, pendidikan akan tetap kekal menjadi asas perjuangan MIC sejak daripada ia ditubuhkan pada Ogos 1946, berdasarkan keyakinan bahawa bidang itu mampu mengubah nasib masyarakat India dan melahirkan modal insan berkualiti.

“Kita percaya hanya pendidikan mampu mengubah nasib masyarakat India dan hari ini hampir setiap keluarga telah melahirkan graduan serta golongan profesional.

“… dan MIC sebagai parti politik hingga kini telah menyalurkan hampir RM227 juta kepada rakyat Malaysia sebagai bantuan kewangan pendidikan,” katanya.

Bagi memastikan MIC terus relevan dan mendekati generasi muda, beliau berkata pelbagai program di peringkat akar umbi akan terus diadakan seperti acara larian, sesi dialog serta program kebudayaan dan keagamaan.

Beliau berkata MIC kini mempunyai lebih 500,000 ahli dan menerima lebih 1,000 permohonan untuk menubuhkan cawangan baharu di seluruh negara, yang sedang ditapis serta diperhalusi.

 -- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement