MIC sentiasa mengamalkan sikap terbuka dalam mengadakan kerjasama tanpa sebarang syarat dengan parti lain yang mewakili kaum India bagi mengukuhkan perpaduan kaum tersebut.

Menegaskan demikian, Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata kaum India perlu duduk di bawah satu 'payung' terutamanya dalam iklim politik negara pada masa sekarang.

Perpaduan itu perlu terus dipupuk bagi menjamin masa hadapan kaum India di negara ini, katanya.

"Hanya kira-kira 7.1 peratus penduduk Malaysia terdiri daripada kaum India, maka kaum India tidak boleh dibahagikan pula kepada kumpulan tertentu hingga terdapat lima, enam parti mewakili mereka.

"Ini akan melemahkan kita, jadi apabila saya ambil alih MIC saya ambil sikap terbuka...untuk bekerjasama atau lebih baik diserap ke dalam MIC," kata beliau yang juga Menteri Kesihatan di sini hari ini.

Beliau berucap pada Pesta Perpaduan Pongal di sini dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron. Turut hadir Pengerusi MIC Melaka Datuk M.S Mahadevan.

Dr Subramaniam juga mahu setiap anggota MIC melupakan perbalahan dalam parti ekoran krisis kepimpinan sebelum ini dan sentiasa terbuka untuk bekerja dalam satu parti.

Beliau berkata MIC kini mempunyai kira-kira 3,500 cawangan dengan lebih 480,000 keahlian di seluruh negara.

Sementara itu, Idris berkata Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri telah membuat keputusan memberi cuti tanpa rekod kepada semua penjawat awam kaum India di negeri ini pada Hari Thaipusam.

Ini langkah awal ke arah Melaka jadikan Hari Thaipusam cuti umum, katanya.