SHAH ALAM: Bekas Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor disahkan mendaftar sebagai ahli Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) pada 1 Mei lalu.

Setiausaha Agung Berjasa, Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad berkata, penyertaan Mohamad Ezam turut menjadi perbualan ramai berikutan peningkatan keahlian parti yang memberangsangkan sejak tahun lalu.

Menurutnya, Berjasa sentiasa terbuka untuk membentuk permuafakatan politik baharu yang lebih segar, sebagai solusi kepada kemelut kredibiliti dan konflik kestabilan politik dalam negara disebabkan ketamakan parti-parti utama besar negara.

"Berjasa terkenal sebagai parti kepimpinan baharu menampilkan gaya politik berteraskan integriti, hikmah dan mempertahankan watan (tanah air) sentiasa terbuka dan berbesar hati menerima masuk mana-mana tokoh politik mahupun figura nasional yang bersetuju dengan agenda serta prinsip parti.

"Semoga penyertaan Mohamad Ezam akan dapat merancakkan lagi gerak kerja parti terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohamad Ezam sebelum ini memegang jawatan sebagai Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan pernah keluar daripada PKR untuk menyertai UMNO selepas tidak lagi sefahaman dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada tahun 2008.

Namun beliau kembali ke pangkuan PKR pada tahun 2020 selepas mendapat permintaan daripada akar umbi yang mahukan beliau membantu parti.

*Artikel asal disiarkan di Sinar Harian