KOTA BHARU: Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO menyerahkan kepada Badan Perhubungan UMNO Johor untuk melakukan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bagaimanapun menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, perkara pertama sebelum persiapan ke arah PRN itu, ia perlu mendapat perkenan ke bawah Duli Yang Maha Mulia, Sultan Johor.

"Mengenai Johor seperti yang kita putuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), kita serahkan kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri untuk berbincang persediaan dan serahkan kepada MB Johor untuk buat keputusan.

"Dari segi peraturan, mesti dapat perkenan Sultan Johor jadi kita serahkan kepada Johor dari segi menentukan sama ada nak buat pilihan raya atau tidak, tarikh dan sebagainya kita serahkan kepada kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan pertemuan dengan Badan Perhubungan UMNO Kelantan pagi tadi.

Ini kali pertama Ismail Sabri melakukan lawatan kerja sehari ke Kelantan sejak dilantik sebagai Perdana Menteri.

Katanya, sebagai sebuah parti, UMNO sentiasa bersedia untuk menghadapi pilihan raya bukan sahaja di Johor sebaliknya di seluruh negara.

Jelas Ismail Sabri lagi, dalam konteks pilihan raya, UMNO juga perlu mendekati  anak muda 18 tahun ke atas yang layak mengundi dan baharu sahaja didaftarkan.

UMNO perlu jelas dan memahami sikap pengundi muda yang baru didaftarkan secara automatik pada 16 Januari lepas yang angkanya dianggarkan lebih 4 juta.

Pergerakan Pemuda khasnya perlu melakukan kajian sikap pengundi yang baru berdaftar itu selain Program Jalinan Rakyat yang dikendalikan pergerakan wanita diperkasakan lagi.