KUALA LUMPUR: "Jangan tunggu lama-lama, nanti diambil orang. Muafakat biar bulat, runding jangan selisih", itu antara pesan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengenai penentuan rakan kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
"Buat elok-elok, pakat elok-elok, muafakat biar bulat, runding jangan selisih.
"Faham tak itu Datuk Rauf? Muafakat biar bulat, runding jangan selisih. Itu kata orang tua-tua.
"Bila runding jangan selisih. Biar elok-elok, bulat-bulat. Macam badan Datuk lah," kata Mohamad berseloroh ketika berucap pada Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, ibu negara hari ini.
Kenyataan itu menyusul ketika Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberikan mandat kepada Ab Rauf untuk merundingkan kerjasama dengan mana-mana pihak bagi menghadapi PRN Melaka.
Beliau juga menyatakan kesediaan kesemua ahli parti dari seluruh negara membantu negeri itu menghadapi PRN.
Pada PRN Melaka yang diadakan pada 2021, BN menang 21 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.
Penggal DUN Melaka akan berakhir Disember ini.