KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memutuskan untuk bergerak secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata keputusan itu dicapai secara konsensus selepas mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk penyokong parti itu.

"Selepas berbincang berbahas, berdiskusi, dapat pandangan masyarakat, penyokong, ahli, dan badan bukan kerajaan (NGO), MUDA telah membuat ketetapan yang jelas dan berdasarkan konsensus parti iaitu pada enam PRN yang bakal diadakan nanti, MUDA akan menyertai dan bertanding atas kekuatan parti kita sendiri," katanya di sini.

Syed Saddiq berkata demikian dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook parti itu, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Muar itu berkata MUDA akan memberikan komitmen penuh pada PRN akan datang, selain percaya parti itu akan membawa budaya politik baharu sekali gus menolak politik tua melalui pilihan raya berkenaan.

Tambah bekas Menteri Belia dan Sukan itu, maklumat lanjut mengenai perancangan parti itu akan diumumkan dalam sesi town hall secara dalam talian malam ini.

"Mungkin ada yang berkata adakah MUDA akan pecah undi? Adakah tidak cukup ada dua blok politik yang sedia ada? Bagi soal pecah undi saya katakan ini, cukup-cukup lah dengan politik untuk menakut-nakutkan rakyat.

"Kerana realitinya jikalau janji ditunaikan, reformasi dilaksanakan, kuasa dikembalikan kepada rakyat dan tidak mengambil mudah undi rakyat, tidak ada keperluan untuk MUDA bertanding.

"Tetapi apabila parti politik blok terbesar terlalu selesa, (dan saling mengatakan) 'wah kalau kamu tidak undi kita, sebelah sana yang akan menang dan hancur lah negara'. Sebelah sana pun kata sama, 'kamu tak undi kita, hancur Melayu-Islam'. Ini tidak betul. Politik baharu ini melangkaui partisan politik," ujarnya.

MUDA juga, katanya lagi akan mengadakan kempen pilihan raya secara dalam talian dan bersemuka sebagai mengurangkan kebergantungan kepada dana penderma.

Dalam masa sama, Syed Saddiq berkata parti itu akan melancarkan kempen digital #PolitikBaru yang memfokuskan tentang pembawaan budaya politik baharu.

Keputusan tersebut berkemungkinan menyaksikan parti itu dijangka bertembung dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), walaupun MUDA menjadi sebahagian daripada blok kerajaan.