Skip to main content

Politik

Muhyiddin beri bayangan akan ada rundingan politik dengan parti tertentu

Caption KUALA LUMPUR, 16 Jun -- Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Ibu Pejabat Bersatu hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Muhyiddin berkata, dinamik politik semasa yang tidak menentu telah membuka ruang perbincangan baharu dan partinya bersedia meneroka sebarang potensi gabungan demi survival dan masa depan parti. - Gambar Bernama
Advertisement

PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipimpinnya kini diibaratkan seperti 'dara sunti', dan hampir dilamar oleh pelbagai pihak menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. 

Presiden Bersatu itu berkata, dinamik politik semasa yang tidak menentu telah membuka ruang perbincangan baharu dan pihaknya bersedia meneroka sebarang potensi gabungan demi survival dan masa depan parti. 

"Tadi Setiausaha Agung dalam ucapan telah memberitahu, banyak orang sudah melambai. Melambai, mungkin hampir-hampir nak melamar. 

"Macam kita ni dara sunti yang dipinang orang," katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Bersatu di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini. 

Kenyataan Muhyiddin itu menyusuli pendedahan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang membayangkan Bersatu mula 'digamit', dihampiri, serta dilemparkan senyuman oleh pelbagai pihak yang mahu merintis kerjasama baharu. 

Astro AWANI difahamkan, kiasan 'lambaian dan lamaran' itu bukan sekadar merujuk kepada parti-parti kecil, sebaliknya turut mengaitkan kemungkinan wujudnya perbincangan di peringkat tertentu melibatkan parti utama kerajaan ketika ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan, Bersatu tidak boleh bertanding secara solo dan perlu bergerak di dalam sebuah gabungan politik yang kukuh. 

"Hampir semua yang memberikan pandangan kepada saya mengatakan bahawa Bersatu tidak boleh bergerak solo. Saya tanya tadi pun ramai yang kata tidak boleh solo. Ramai hendak berganding dan berkahwin. 

"Kalau tanya saya, jawapannya ya. Saya juga tidak bersetuju dengan pandangan bahawa kita harus pergi solo. Kita mesti bergerak dalam sebuah gabungan politik," ujarnya. 

Bagaimanapun, beliau meletakkan syarat tegas terhadap mana-mana pihak yang berhasrat untuk 'meminang' atau membentuk penjajaran baharu dengan Bersatu tidak bersikap hipokrit dan oportunis yang hanya mendekati parti itu ketika berkuasa. 

"Cuma dalam menentukan rakan gabungan, ia mestilah rakan yang menghormati perjuangan kita. Yang menghargai sumbangan kita. 

"Bukan menghargai waktu kita berada dalam kerajaan sahaja. Bila kita tidak berkuasa, mereka mengetepikan, mengeji, menghina kita. Apa manusialah mereka itu!" tegasnya. 

Selain membayangkan keterbukaan penjajaran baharu di peringkat nasional, Muhyiddin turut mengesahkan pihaknya telah mengadakan perbincangan awal yang positif bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), selain menerima isyarat keterbukaan daripada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) pimpinan Datuk Ibrahim Ali. 

Must Watch Video

Advertisement