Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin menepis dakwaan bahawa Pengerusi parti Tun Dr Mahathir Mohamad tidak yakin dengan kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands M. Manogaran.

Semasa ditemui pemberita, Muhyiddin berkata Dr Mahathir menganggap PRK Cameron Highlands sebagai penting dan akan turun berkempen untuk PH pada Jumaat.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai dakwaan Dr Mahathir tidak yakin dengan kemenangan Manogaran disebabkan jadual Perdana Menteri yang tidak banyak meluangkan masa di sini.

"Biasanya Perdana Menteri tak pergi kempen kecil seperti ini tapi kerana dia fikir ini adalah PRK yang penting dan kita bertanding di sini, tentu masyarakat serta pengundi di sini mahu dengar mesej Tun sebagai Perdana Menteri.

"Pada saya, andaian itu tidak tepat," katanya kepada media selepas solat Maghrib dan Isyak di Masjid Sungai Koyan di sini pada Khamis.

Mengikut jadual Perdana Menteri yang dikongsi kepada pihak media, beliau akan berada di sini dari jam 10 pagi hingga 2 petang pada Jumaat.