ALOR SETAR: Isu membabitkan kerjasama dengan UMNO menerusi gabungan Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)  tidak disentuh oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ucapan dasar Muktamar Tahunan Pas ke-68.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Marang itu menegaskan bahawa Pas bertanggungjawab mengajak perpaduan umat untuk melakukan islah daripada kesilapan kerajaan terdahulu selain berusaha menyatukan parti Melayu Islam yang berselerak dengan pendekatan masing-masing sebelum ini.

Selain itu, parti itu juga turut berperanan bagi menyatukan kalangan bukan Islam yang tidak esktrem bagi membentuk sebuah negara masyarakat majmuk yang sejahtera.

Pendekatan yang diambil itu juga adalah berdasarkan petunjuk al-Quran berlandasakan konsep Keluarga Malaysia Masyarakat Majmuk.

"Pas menolak sebarang agenda perpaduan kaum yang sempit dan mempunyai wawasan yang terhad.

"Pada masa yang sama, Pas sedia berbincang dengan semua pihak yang menunjukkan tanda-tanda keikhlasan untuk mencari jalan penyelesaian supaya kembali kepada Islam.

"Hal ini sangatlah penting bagi mengatasi masalah umat yang besar, bukan sekadar agenda politik yang sempit, jangka masa pendek dan tidak beristiqamah bersama Islam.

"Kerjasama dalam perpaduan ini ada sempadannya, hanya dalam perkara kebaikan dan taqwa, seperti perpaduan umat berlandaskan tali Allah (Islam) yang menegakkan adil kepada semua, melakukan kebajikan dan meninggalkan yang salah kembali ke pangkal jalan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden Pas sempena Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menegaskan bahawa parti itu tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dalam perkara dosa seperti meneruskan permusuhan serta menyembunyikan dosa tanpa insaf dan taubat.

Malah, Pas juga tidak akan memejamkan mata terhadap kemungkaran seperti rasuah, politik wang, politik mahu jawatan, salah laku dan salah urus,

Ini kerana 'sifat' meraikan kemungkaran semata-mata menjaga hati dan kepentingan yang salah sehingga meninggalkan prinsip adalah konsep ta‘awun yang berdosa.

Sehubungan itu, Pas menolak sesiapa sahaja yang mengambil pendekatan yang terpesong daripada konsep ta‘awun berlandaskan petunjuk al-Quran.