Dewan Ulamak Pas mengusulkan agar taawun atau bertolong-tolongan ke arah kebaikan mestilah meletakkan Islam sebagai asas keutamaan.

Wakil Dewan Ulamak, Zulkarnain Hassan menggariskan lima nasihat sekiranya Pas ingin menjalinkan taawun dengan mana-mana parti politik termasuk UMNO.

Antaranya, sebarang kerjasama yang bakal diwujudkan mestilah bertujuan mengukuhkan blok pembangkang.

“Selain kerjasama dakwah dan penyampaian mengenai Islam, hendaklah yang ingin menjalinkan taawun itu datang kepada kita dan bukannya kita yang beria-ia menemui mereka” katanya ketika menyampaikan ucapan membahaskan ucapan Presiden pada hari terakhir Muktamar Pas kali ke-64 di sini.

Menurut Zulkarnain, Dewan Ulamak meletakkan kepercayaan penuh terhadap apa jua keputusan yang bakal dibuat oleh Majlis Syura dan juga kepimpinan parti dan pada masa yang sama meminta semua ahli pas supaya “walad” atau taat atas apa jua keputusan yang bakal dibuat oleh kepimpinan.

Katanya Dewan Ulamak juga menyokong penuh ucapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam.

Sementara itu, usul dari Dewan Pemuda Pas supaya Pas pusat menerajui usaha-usaha untuk menyatukan survival politik melayu Islam di negara ini seterusnya mengukuhkan kembali serta mengekang anasir-anasir tidak sihat yang menjejaskan kehormanian politik serra masa depan agama, rakyat dan negara diterima tanpa dibahas.

Selain itu usul meletakkan kepentingan islam, mempertahankan akidah dan kedudukan Islam dalam negara yang diusulkan oleh Dewan Muslimat Pas dan Dewan Ulamak Pas Pusat turut diterima.

Dewan Ulamak Pas Pusat dan Muslimat juga turut mengusulkan supaya kerajaan pusat menyelesaikan masalah berkaitan isu Lesbian, Gay, Bisexsual dan Transgender, LGBT mengikut prinsip islam.

Ia turut mendesak agar tindakan tegas dikenakan ke atas kenyataan bersifat anti Islam termasuk kenyataan yang memperlekehkan undang-undang syariah.

Usul Dewan Pemuda Pas yang menyarankan agar Gagasan Sejahtera diperkukuh dengan menzahirkan keikhlasan Pas menerusi lantikan politik dalam kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu kepada rakan dalam Gagasan Sejahtera.