Skip to main content

Politik

MyKhas untuk rakyat bukan Ahli Parlimen, kenyataan PM tepat - Fahmi

KUALA LUMPUR, 8 Ogos -- Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil ketika sidang media selepas Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Imbi Convention Hall, Cheras hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fahmi ketika ditemui media selepas merasmikan Kempen Internet Selamat MCMC bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), di sini pada Sabtu. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan peruntukan di bawah sistem Mesra Rakyat (MyKhas) disediakan khusus untuk kegunaan rakyat dan bukannya bagi kegunaan peribadi Ahli Parlimen.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata dana berkenaan merupakan Peruntukan Khas Perdana Menteri seperti yang terkandung dalam dokumen Rancangan Malaysia (RMK) dan Belanjawan Negara.

Ia sekali gus, ujarnya kaedah penyaluran dana berkenaan adalah tertakluk kepada pertimbangan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Apa yang Perdana Menteri sebutkan itu betul, tepat dan benar. Peruntukan yang dimaksudkan adalah Peruntukan Khas Perdana Menteri. Maka terpulang kepada Perdana Menteri bagaimana untuk salurkannya.

"Macam saya pun, MyKhas tidak boleh digunakan untuk saya. MyKhas digunakan untuk rakyat, penduduk dan pengundi dalam Parlimen. Duit itu tidak pernah sekali-kali pergi kepada Ahli Parlimen," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Kempen Internet Selamat MCMC bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), di sini pada Sabtu.

Fahmi menambah dana MyKhas dikendalikan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan sebarang permohonan bantuan boleh disalurkan melalui agensi berkenaan, khususnya di negeri-negeri pembangkang.

Mengulas lanjut mengenai mekanisme penyaluran, beliau berkata di sesetengah kawasan seperti Ampang, penyaluran dikendalikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin, manakala di Petaling Jaya ia diselaraskan menerusi Ketua Cabang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan.

"Jadi mekanismenya seperti yang Perdana Menteri telah umumkan, ia tidak menjadi apa-apa masalah atau isu kerana duit itu akan terus disampaikan kepada rakyat," ujar beliau.

Semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan peruntukan kerajaan disalurkan terus kepada rakyat bagi memenuhi keperluan pembangunan serta kebajikan, dan bukannya kepada Ahli Parlimen.

Perdana Menteri berkata, tiada isu sekatan peruntukan kepada mana-mana Ahli Parlimen kerana dana kerajaan sememangnya digunakan untuk membiayai projek yang memberi manfaat terus kepada rakyat.

"Peruntukan tidak semestinya diberi kepada Ahli Parlimen, (sebaliknya) peruntukan diberi terus kepada rakyat. Sejak bila kita kena beri kepada Ahli Parlimen?

"Kalau ada peruntukan RM2 juta, RM2 juta itu juga disalurkan kepada rakyat, sekolah, sekolah agama, masjid, pembaikan longkang dan pelbagai keperluan lain. Itu yang akan kita lakukan," katanya.

Anwar berkata demikian ketika mengulas dakwaan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, bahawa pusat khidmatnya tidak lagi boleh mengakses sistem MyKhas yang digunakan bagi menguruskan peruntukan pembangunan kawasan.

Sejak beberapa bulan lalu, beberapa Ahli Parlimen PKR termasuk Lee Chean Chung (Petaling Jaya), Wong Chen (Subang) dan Rodziah dilaporkan tidak lagi mempunyai akses kepada sistem MyKhas.

Ketiga-tiga mereka sebelum ini menghadiri majlis pelancaran Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang diasaskan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.

Must Watch Video

Advertisement