Datuk Seri Najib Tun Razak berpegang kepada tiga prinsip sejak menceburi politik 40 tahun lalu dan tidak akan menghancurkan UMNO yang telah dibina allahyarham ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein.

Menurut Perdana Menteri, prinsip paling utama yang dipegangnya adalah perbanyakkan kawan daripada lawan.

Najib menjelaskan beliau juga memegang prinsip tidak pernah bertanding untuk menjatuhkan sesiapa dalam politik.

“Rekod saya di peringkat bahagian dan nasional bila kalau ada kosong baru saya bertanding dan sampai hari ini saya tidak pernah menjatuhkan sesiapa dalam pertandingan dalam parti kita,” Najib berucap pada majlis tahlil bersempena '40 tahun Najib Razak Dalam Politik' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Sabtu malam.

Menurutnya, beliau juga tidak pernah membeli undi dalam parti kerana tidak mahu menjadi anak yang menghancurkan parti yang telah dibina oleh allahyarham bapanya walaupun dicemuh serta diserang pelbagai pihak dalam politik.

Perdana Menteri berkata biarpun beliau disifatkan penyabar oleh rakan politiknya, namun mengakui kesabaran beliau ada hadnya terhadap mereka yang cuba mencalar kredibiliti kepimpinannya.

“Ya ... saya penyabar, saya setuju. Tetapi sabar ada had juga. Jangan fikir saya diam boleh buat sesuka hati, dan jika sudah melebihi had saya akan bertindak tetapi mestilah berdasarkan fakta dan kepentingan parti dan kerajaan," katanya