KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menganggap tindakan UMNO yang menggantung keahlian beliau, bukanlah satu masalah yang besar.

Beliau berkata, keputusan penggantungan itu tidak menjejaskan 'semangat UMNO' dalam dirinya, biarpun mungkin beliau tidak lagi boleh bertanding dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Sambil berseloroh menjawab celahan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar sewaktu persidangan Dewan Rakyat hari ini, Tajuddin berkata, ia bukanlah hukuman gantung sampai mati.

Tajuddin: Kita nak hadapi pilihan raya kena kempen la sikit.

Mahfuz: Hai bertanding lagi ke?

Tajuddin: Tak ada masalah. Kita masih UMNO. No problem. Itu gantung… bukan gantung sampai mati. Apa ada masalah? (Kalau) Nak gantung, gantung bagi mati, okey. Kalau tak mati, takut dia hidup balik.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 30 Sept lepas memutuskan keahlian Tajuddin, yang juga Ketua Bahagian UMNO Pasir Salak, digantung selama enam tahun.

Turut digantung keahlian ialah Ketua Bahagian UMNO Alor Star Datuk Mohd Yusof Ismail, manakala seorang lagi ahli UMNO, iaitu Datuk Zaharin Mohd Yasin, yang lebih dikenali sebagai Sang Kelembai, dipecat dari parti

Kedua-dua Tajuddin dan Mohd Yusof dipercayai digantung kerana seringkali mengadakan kritikan terbuka terhadap kepimpinan Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Mohd Yusof dilaporkan media sebagai berkata, beliau agak terkejut dengan keputusan tersebut, dan telah dikeluarkan dari ‘group’ laman media sosial Whatsapp Ketua UMNO Bahagian.