ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan akan mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi mengisi jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dalam waktu terdekat.

Menurutnya, nama calon pengganti kepada ADUN Barisan Nasional (BN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob akan dipersembahkan bagi mendapat perkenan Sultan Kedah.

Beliau turut mengesahkan calon Exco berkenaan adalah dalam kalangan ADUN dari parti Pas di negeri Jelapang Padi itu.

"Proses pelantikan Exco ini bukanlah rumit tetapi dia ada step, saya kena hantar surat pemakluman peletakan jawatan Exco kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah dan saya kena mohon perkenan untuk membuat penggantian dan saya kena hantar satu nama untuk memohon perkenan Tuanku, nama ini bagi menggantikan (nama lama) itu.

"(Selepas) mendapat perkenan saya kena cari tarikh untuk angkat sumpah, proses itu dia akan berjalanlah, saya harap sempat sebelum sidang DUN, kalau tak sempat selepas sidang DUN, masa sidang DUN kalau Exco tu tak ada lagi, saya jawab soalan berkaitan portfolio yang yang tersebut di atas,” kata Muhammad Sanusi.

Menteri Besar itu berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kedah Aerotropolis di Wisma Darul Aman, di sini, pada Khamis.

Pada 13 Oktober lalu, Suraya mengumumkan peletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah berkuat kuasa serta-merta.

Beliau yang juga satu-satunya Exco daripada UMNO/ Barisan Nasional di dalam pentadbiran kerajaan negeri Kedah sebelum ini memegang portfolio Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga.