Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang, Nazri Ahmad dipilih sebagai calon parti untuk pilihan raya kecil Rompin yang akan diadakan 5 Mei ini.

Pemilihan itu diumumkan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dalam satu Ceramah Pengisytiharan Calon P091 Rompin di Pusat Perniagaan Bandar Satelit, Bandar Muadzam Shah sebentar tadi.

Nazri yang merupakan bekas graduan Universiti Al-Azhar akan berdepan dengan bekas Timbalan Menteri Besar Pahang, Datuk Hasan Arifin.

Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) menamakan pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin sebagai calonnya bagi PRK Parlimen Rompin.


Pemilihan bekas Timbalan Menteri Besar Pahang itu diumumkan timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis pengumuman calon dan penyerahan watikah di Pusat Operasi Jentera BN, Muadzam pada Sabtu.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang, Tan Sri Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April.

Allahyarham Jamaluddin menjadi anggota Parlimen kawasan itu selama enam penggal dari 1990.

Pada Pilihan Raya Umum 2013, beliau menewaskan Ketua Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 5 Mei sebagai hari mengundi. Hari penamaan calon pula ialah pada 22 April.