KUALA TERENGGANU: Negara memerlukan gagasan penyatuan yang lebih besar daripada Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menjamin kestabilan negara dan mengukuhkan ikatan ummah.

Itu antara cadangan yang dilontarkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai penyelesaian kemelut kecil yang timbul membabitkan rakan-rakan kerjasamanya ketika ini.

Katanya, gagasan itu perlu dilihat dalam kerangka yang lebih besar dan dilebarkan sehingga ke Sabah dan Sarawak.

"Kita lihat kepada kerangka yang besar. Itu salah satu antara pandangan saya, saya lihat bahawa kalau MN, PN, mungkin kita perlukan satu gagasan.

"Selama ini gagasan kita hanya berlaku dalam konteks semenanjung, kita menghormati GPS Sabah yang mendukung kerajaan pusat untuk kestabilan tetapi lebih baik kalau sekiranya gagasan itu merangkumi lebih besar daripada gagasan yang sedia ada," katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas menghormati apa jua keputusan UMNO mengenai hala tuju dan kerjasama kedua-dua parti berkenaan dalam MN yang bakal ditentukan pada Perhimpunan Agung UMNO.

Jelasnya lagi, beliau yakin keputusan itu telah dibuat oleh perwakilan UMNO sebelum ini dan mereka mahu mengekalkan MN.