TANJONG KARANG: Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar meramalkan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) terus merosot pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pada tahun ini.

Noh berkata, rakyat tidak percaya dengan prinsip parti itu yang sebelum ini sering mengungkapkan perkataan 'No Anwar, No DAP' sebaliknya menjalin kerjasama membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Rakyat berasa mereka ditipu, lain cakap lain yang dibuat. Ini bukan saya cakap, ini apa yang anak muda beritahu mereka tidak mahu BN, sebaliknya sokong PN (Perikatan Nasional)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Anak Yatim Tanjong Karang di Dewan Terbuka Taman Seri Setia Tanjong Karang pada Ahad.

Mengambil contoh di Selangor, Noh memberitahu, beliau sendiri berasakan UMNO tidak lagi kuat terutama di kawasan majoriti Melayu.

Katanya, berdasarkan kepada keputusan PRU15 lalu, semua kubu kuat parti itu tewas termasuk di Parlimen Tanjong Karang.

"Rakyat sudah nampak bahawa UMNO bukan lagi payung untuk melindungi perjuangan orang Melayu, sebaliknya sekarang menumpang payung (parti lain) pula," ujar beliau. -Sinar Harian