Presiden Keadilan Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa anggota parti dan rakyat untuk menghormati keputusan anaknya, Nurul Izzah melepaskan semua jawatannya dalam parti itu.

Malah, Anwar yang juga bapanya menganggap keputusan itu konsisten dengan watak Nurul Izzah yang berani menyatakan pendapat dan prinsipnya.

"Saya telah berbincang dengan Nurul Izzah dengan panjang lebar tentang niat beliau untuk melepaskan kesemua jawatan yang disandang dan bukan hak saya untuk memperincikannya.

"Tetapi yang jelas adalah kerancakan perkembangan politik sejak 9 bulan lalu telah buatkan beliau mual dan muak dengan perangai dan telatah golongan yang lebih sibuk dengan politik kepartian daripada bekerja untuk rakyat," kata Anwar dalam satu kenyataan media.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menyifatkan Nurul Izzah yang dilantik sebagai Naib Presiden dan mendapat sokongan majoriti untuk jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang, mengkritik kerat pimpinan parti yang lebih tamakkan kepentingan peribadi daripada kesatuan parti.

"Beliau menyatakan kekecewaan dengan aksi ahli-ahli Parlimen yang melompat menyelamatkan nyawa politik, tetapi apa yang lebih parah adalah mereka dimanfaatkan untuk rencana yang jelek.

"Peristiwa 9 Mei adalah satu anjakan besar buat negara, tetapi kejayaan kita daalam perluasan dan pemekaran ruang demokratik tidak ada sebarang makna sekiranya agenda reformasi disabotaj.

"Tidak dinafikan, keputusannya adalah suatu kehilangan besar, bukan sahaja buat KEADILAN, tetapi negara seluruhnya," kata Anwar.

Nurul Izzah yang juga anak pasangan presiden PKR dan Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail membuat kejutan baru-baru ini apabila mengumumkan keputusannya melepaskan semua jawatan dalam parti, termasuk naib presiden.

Bagaimanapun, beliau kekal anggota parlimen Permatang Pauh dan ahli biasa PKR.

Nurul Izzah pada Isnin membuat kejutan apabila mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden PKR serta mengundurkan diri daripada pelantikannya sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang.