Penubuhan Pakatan Nasional yang dikatakan akan menggantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanyalah sekadar perbualan di media sosial dan ia tidak berasas, demikian kata wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin.

Menurut A Kadir, beliau sedar perkara itu dipercayai tercetus selepas foto minum petang Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tersebar di laman sosial, baru-baru.

Ia kemudian disusuli dengan laporan bahawa anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO memberikan mandat kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid untuk mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir.

"Tetapi itu bukan masalah besar. Dr Mahathir bertemu dengan semua orang - kawan dan musuh. Beliau bertemu dengan Abdul Hadi beberapa kali sebelum ini.

“Dalam laporan tersebut, Ahmad Zahid menyebut UMNO tidak mempunyai pilihan daripada bekerja dengan Dr Mahathir kerana PAS telah berbuat demikian,” kata beliau dalam catatan di blog kadirjasin.blogspot.

BACA : PM nafi pelawa UMNO tubuh Pakatan Nasional

Mengulas lanjut, A Kadir menggambarkan bahawa Dr Mahathir seolah tidak mengambil serius mengenai sokongan yang diberikan oleh Ahmad Zahid.

Ini kerana tambah beliau, Ahli Parlimen Bagan Datoh itu disifatkan bukan sosok yang layak untuk mengetuai sebarang rundingan memandangkan Ahmad Zahid ketika ini sedang berdepan pertuduhan rasuah.

“Tetapi apabila saya sebutkan hal ini kepada Perdana Menteri kemudian, beliau berkata: ‘Beliau (Ahmad Zahid) ada sokongan kah?,” tulis A Kadir.

"Ahmad Zahid menghadapi lebih daripada 30 pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih daripada RM40 juta daripada sebuah syarikat berkaitan UMNO dan menyalahgunakan wang yang sepatutnya disalurkan untuk tujuan kebajikan.

“Dalam erti kata itu, Ahmad Zahid bukanlah orang yang paling baik untuk memimpin sebarang rundingan pelbagai pihak dan amat pelik untuk Perdana Menteri bercakap mengenai politik yang serius dengan seorang OKT (Orang Kena Tuduh),” ujarnya lagi.

BACA: Anwar sifatkan Pakatan Nasional propaganda pembangkang

BACA: Pakatan Harapan jadi mangsa kejayaan sendiri - Mohamad

BACA: MT UMNO tidak bincang isu Pakatan Nasional

BACA: Kerjasama Muafakat Nasional dengan Dr Mahathir ditolak rakyat - Asyraf Wajdi

Bagaimapaun, A Kadir berkata sekiranya gabungan tersebut menjadi kenyataan, ia mungkin tidak mendapat sokongan secara automatik parti bumiputera di Sabah dan Sarawak memandangkan majoriti kedua-dua negeri itu terdiri daripada bukan Islam.

“Tetapi berdasarkan naratif UMNO dan PAS, DAP nampaknya tidak mempunyai tempat dalam gabungan itu. Ini bermakna tidak ada wakil dari bukan bumiputera yang dianggap penting.

"UMNO dan Pas telah menyerang DAP sebagai anti-Melayu dan anti-Islam dalam cubaan mereka melemahkan kerajaan PH dan untuk menggerakkan sokongan kepada orang Melayu dan Islam.

“Saya tidak pernah percaya dengan kata-kata bahawa orang Melayu dan Islam terancam di bawah PH, sebaliknya orang Melayu dan umat Islam menjadi lemah dan tercemar kerana rasuah ketika kerajaan UMNO," katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir menafikan beliau mempelawa UMNO dan PAS untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru.

Sebaliknya, Perdana Menteri menegaskan beliau terbuka untuk menemui mana-mana pihak seperti wakil parti lawan untuk mendengar pendapat mereka.