Kepimpinan Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen Kimanis kini berada di landasan tepat untuk mengulangi kejayaan majoriti memberangsangkan Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman berkata, pihaknya yakin kejayaan lalu akan diulangi oleh BN, malah beliau percaya ianya melebihi berikutan sokongan tidak berbelah bagi daripada semua lapisan rakyat berdasarkan prestasi cemerlang kerajaan sebelum ini.

Jelasnya, sehubungan itu, kerusi P176 Parlimen Kimanis yang turut merangkumi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Membakut dan Bongawan, dijangka kekal sebagai kubu kuat BN pada PRU ke-14 nanti.

"Sokongan rakyat di kawasan ini (terhadap BN) sejak dulu tidak berubah, bertambah mungkin ada. Saya yakin Kimanis akan kekal kubu kuat BN.

"Sehubungan itu, kita ucap terima kasih kepada semua rakyat di kawasan ini," katanya selepas merasmikan Karnival Mobile CTC dan Program Kerjaya Seranta dan Diplomasi Awam di Pekan Bongawan, pada Sabtu.

Turut hadir Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri merangkap ADUN Membakut, Datuk Ariffin Arif dan ADUN Bongawan, Datuk Mohamad Alamin.

Mengulas persoalan sama ada beliau akan tercalon semula sebagai calon BN untuk kawasan Parlimen Kimanis, Anifah yang juga Menteri Luar berkata ianya bergantung kepada pucuk pimpinan.

"Saya tidak tahu dan tidak pasti sebab bukan saya yang menentukannya.

"Sekiranya dicalonkan, saya kena fikir sedalam-dalamnya demi kepentingan rakyat di Kimanis," katanya.

Untuk rekod, pada PRU13, Anifah menang dengan 5,723 undi majoriti dalam pertembungan empat penjuru, membabitkan jumlah pengundi seramai 26,628 orang.