TENOM: Pembentukan parti baharu yang diasaskan Datuk Peter Anthony kini dalam peringkat akhir perbincangan bersama ahli sebelum dihantar ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Bekas Naib Presiden Parti Warisan itu berkata, pengumuman rasmi parti baharu itu akan dibuat sebelum pihaknya mengadakan 'roadshow' di seluruh bahagian di Sabah.

"Dalam masa terdekat ini kita akan muktamadkan sebelum kita melakukan 'roadshow' di seluruh bahagian.

"Saya ingat dalam masa terdekat inilah kita akan penuhi keseluruhan jawatankuasa sama ada di peringkat majlis tertinggi dan juga jawatankuasa di peringkat bahagian sebelum kita proses untuk dihantar bagi kelulusan ROS nanti," Katanya dalam sidang media selepas Majlis Pra Pelancaran dan Santai Bersama Masyarakat Tenom disini pada Jumaat.

Mengulas lanjut mengenai pendaftaran dengan ROS, Peter tidak menolak kemungkinan pendaftaran parti yang melalui penjenamaan semula itu mengambil sedikit masa diperingkat ROS.

"Parti pertama yang dahulu memang sudah diluluskan cuma perlu sedikit penambahbaikan daripada sudut teknikal di peringkat ROS dan akan ambil masa sedikit.

"Nanti saya umum dalam masa terdekat, parti ini parti pelbagai bangsa yang boleh dianggotai semua rakyat berbilang bangsa dan kaum di Sabah," jelasnya.

Terdahulu, Peter mengumumkan keluar Parti Warisan pada penghujung Disember tahun lalu dan bakal menubuhkan sebuah parti baharu mesra kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Turut keluar parti bersama Peter adalah ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim.