POLITIK
Parti Bersatu nafi edar borang keahlian

Kamarulazman (lima dari kiri) berkata pendaftaran keahlian parti itu akan dibuka selepas mendapat kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS) - Foto Astro AWANI
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan telah mengeluarkan borang keahlian untuk menyertai parti itu.
Setiausaha Penaja Bersatu, Kamarul Azman Habibur Rahman berkata pendaftaran keahlian parti itu akan dibuka selepas mendapat kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS).
"Justeru bagi mengelakkan sebarang halangan, kekeliruan dan kekangan terhadap kelulusan Bersatu, saya ingin menyeru agar semua pihak bersabar dan jangan mengeluarkan sebarang borang keahlian sendiri yang akan mengelirukan orang-ramai.
"Yakinlah kita mempunyai borang keahlian sendiri dan sebaik sahaja kita mendapat kelulusan daripada RoS, borang ini akan diedarkan sama ada diisi secara atas talian ataupun secara manual melalui borang," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Logo parti Bersatu yang didaftarkan di RoS pada Isnin. - Gambar fail
Menurutnya, sambutan terhadap parti baharu itu amat memberangsangkan apabila pihaknya menerima ribuan permohonan keahlian.
Pada Selasa, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan permohonan untuk mendaftar Bersatu kepada RoS.
Menurut beliau, keahlian parti terbuka kepada golongan Bumiputera namun golongan bukan Bumiputera boleh mendaftar sebagai ahli bersekutu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami