SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan membenarkan parti-parti politik menggunakan dewan di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi kegunaan berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ia dibenarkan dengan sewaan mengikut jam dan bukannya menyewa mengikut hari atau dipajak seminggu.

"Kita sedia maklum ketika ini musim hujan, kadang-kadang menyusahkan orang ramai untuk mendapat maklumat kempen, jadi, kita benarkan semua parti menyewa mengikut jam bukan seminggu atau pajak," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Bagaimanapun, beliau berkata balai raya di bawah PBT tidak dibenarkan bagi tujuan itu kerana terlalu kecil.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini (5 Nov) sebagai hari penamaan calon, pengundian awal (15 Nov) dan hari pengundian pada 19 Nov.

-- BERNAMA