KUALA LUMPUR: Pas Perak menawarkan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman untuk bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) mewakili parti Islam itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurut Pesuruhjayanya Razman Zakaria, tawaran tersebut dibuka sekiranya kerusi Parlimen Pasir Salak menjadi milik Pas dalam pembahagian kerusi bersama parti komponen PN.

"Seperti yang dikatakan, Pas tidak turut campur dalam urusan parti-parti lain. Bagaimanapun, seperti yang diketahui dan diuar-uarkan, PRU akan berlaku pada bila-bila masa.

"Ini bukan sahaja daripada kalangan pemimpin kluster mahkamah, kenyataan tersebut juga keluar daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob).

"Maka, sekiranya perkara ini berlaku dan Tajuddin tidak diberi tempat dalam Barisan Nasional (BN), maka Pas Perak sedia menawarkannya untuk bertanding di atas tiket PN, mewakili Pas.

"Ia sekiranya Pasir Salak itu menjadi milik Pas dalam pembahagian kerusi di antara parti-parti komponen," katanya menerusi satu muat naik video di Twitter, pada Jumaat.

Pada Khamis, Astro AWANI melaporkan, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak digugurkan daripada menganggotai Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Sumber dalaman UMNO mengesahkan pengguguran itu, sambil menambah, ia sudah dimaklumkan Setiausaha Agung parti Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu surat yang dikeluarkan pada Selasa.