KUALA LUMPUR: Parti Islam SeMalaysia (Pas) menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Perikatan Nasional (PN) adalah suatu tawaran baharu kepada rakyat Malaysia.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Pas juga berpegang kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang, konsep adil untuk semua, kepimpinan berintergriti dan berakhlak budiman.

"Pas menyambut baik saranan YAB Perdana Menteri bahawa Perikatan Nasional (PN) adalah suatu tawaran baharu (new deal) kepada rakyat Malaysia, demi memastikan kebajikan rakyat terjamin, mewujudkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan mengekalkan keharmonian antara kaum.

"Pas berpegang kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang, konsep adil untuk semua, kepimpinan berintegriti dan berakhlak budiman serta mengambil pendekatan politik yang menyatukan ummah," ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.

BACA: PN tawaran baharu untuk Malaysia, akan kekal untuk tempoh yang panjang - PM Muhyiddin

Tambah Abdul Hadi, Pas menyeru semua pihak supaya mendukung pendekatan sederhana, prihatin rakyat dan berkebajikan yang dibawa oleh PN.

Pas katanya turut menolak pendekatan ekstrem, oportunis dan melampau yang tidak sesuai dengan negara Malaysia bermasyarakat majmuk.

Pada Sabtu Perdana Menteri dalam ucapan ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional ke-49 Gerakan berkata PN adalah tawaran baharu untuk rakyat Malaysia, dan parti itu akan kekal untuk tempoh masa yang lama.

Pengerusi PN itu juga berkata, gabungan berkenaan ingin kekal sebagai sebuah gabungan politik yang berkongsi aspirasi negara untuk generasi yang akan datang, serta mahu memimpin Malaysia dengan lebih cekap, berkesan dan kompeten.