PUTRAJAYA: Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad hari ini merupakan pemimpin kanan terbaharu yang menafikan kononnya parti itu mempunyai komplot untuk mencampuri urusan kehakiman demi percaturan politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, beliau selaku antara pemimpin tertinggi parti senada dengan seorang lain Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yang menyifatkan dokumen yang tersebar itu hanyalah ‘sampah’.

Dalam masa sama Idris menganggap perkara itu hanya komplot untuk memecahbelahkan parti-parti politik Melayu dalam negara.

“Saya ini pemimpin tertinggi Pas, nama pun ‘leak’, tentu tak betul. Saudara ini mengaji bab media mesti tahu kalau kita nak ambil sumber, kena ambil (dari) sumber yang betul. Nama pun leak (bocor)… biarlah kita ambil yang jelas.

“Nama leak ni ‘rubbish’ (sampah) seperti kata Menteri Besar Terengganu (Ahmad Samsuri) saya setuju. Saya pemimpin tertinggi, (Naib Presiden) nombor tiga, nombor dua (Menteri Besar Kelantan) Nik Amar, nombor satu Ahmad Samsuri.  Dalam mesyuarat (sebelum ini) tak pernah bincang bab-bab itu,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Town Hall dan Pelancaran Buku Keluarga Sejahtera Keluarga Malaysia yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini, hari ini.

Sebelum ini tular beberapa dokumen di media sosial, yang mendakwa terdapat perancangan rapi untuk mempercepatkan hukuman mahkamah terhadap beberapa pemimpin kanan UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Antara nama yang disebut sebagai ‘perancang utama’ dalam dokumen itu ialah Naib Presiden Pas, Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang turut didakwa mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti politik lain.

Mengulas lanjut, Idris berkata, ada beberapa kemungkinan di sebalik perbuatan itu, termasuk bertujuan mensensasikan perkara yang tidak betul, sengaja mahu mempopularkan laman media sosial masing-masing atau khusus serta bermatlamat meretakkan perpaduan dalam kalangan parti politik Melayu.

“Kejayaan orang lain atau musuh kita, ialah apabila berlakunya perpecahan di kalangan kita,” katanya lagi.