PAU 2025: Keluar Kerajaan Perpaduan hanya cetus huru-hara, tindakan ikut emosi - Tok Mat

Mohamad menggesa ahli-ahli UMNO mendukung peranan parti dalam Kerajaan Perpaduan dengan pandangan membina, idea bernas dan teguran yang munasabah. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: UMNO tidak akan keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan membiarkan negara menjadi huru-hara.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan sedemikian bukan kerja negarawan, sebaliknya ia merupakan perbuatan mereka yang tunduk kepada emosi.
“Malam ini saya mahu pesan, marah mesti bersulam strategi, berani mesti bersulam tanggungjawab. Jadi, ke mana hala tuju kita? Adakah kita akan keluar kerajaan esok dan biarkan negara huru-hara? Tidak.
“Itu jalan mereka yang tunduk kepada emosi, bukan kerja negarawan. Bak kata orang tua-tua, berfikir biar panjang, bertindak biar bijak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2025 di Dewan Merdeka, di sini, pada Rabu.
Ujarnya, perbezaan politik yang dibiar membarah tanpa kebijaksanaan boleh menyebabkan kerajaan runtuh kerana tanpa pelan penggantian, yang lahir bukanlah kebebasan, tetapi kekosongan kuasa.
“Kita semua mesti sedar bahawa keluar masuk sesebuah kerjasama politik bukan jawapan untuk UMNO pulih, ia bukan jalan keluar yang merawat masalah dan sakit kita tetapi hanyalah satu peralihan dan pemesongan fokus yang sangat bersifat jangka pendek,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mohamad menggesa ahli-ahli UMNO mendukung peranan parti dalam Kerajaan Perpaduan dengan pandangan yang membina, idea bernas dan teguran yang munasabah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


