KUALA LUMPUR: UMNO bertekad mengembalikan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai sistem percukaian negara bagi menggantikan pendekatan percukaian semasa.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu perlu dilaksanakan menerusi penstrukturan semula rejim percukaian, selaras dengan keperluan ekonomi serta kepentingan rakyat.
Tegasnya, sekiranya GST dikembalikan, pelaksanaannya perlu dibuat dengan kadar yang lebih munasabah bagi memastikan sistem percukaian tidak membebankan rakyat.
“Kita akan menyusun semula keutamaan negara, set of priority. Bermula dengan penstrukturan rejim percukaian, tukar baliklah percukaian kepada sistem GST!.
“GST Bossku (Datuk Seri Najib Razak) buat dah betul dah. Insya-Allah, zaman kita, kita kembalikan GST dalam sistem percukaian negara ini. Kita ubah kembali pada kadar dan peratusan yang lebih munasabah,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO tidak bersetuju dengan pendekatan mencantumkan GST dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) secara hibrid, sambil menegaskan gabungan sedemikian tidak pernah dilaksanakan oleh negara lain.
Menurut Ahmad Zahid, penstrukturan semula sistem percukaian itu penting bagi menyelaraskan jaminan sosial rakyat, memudahkan urusan perniagaan serta merangsang pembangunan ekonomi wilayah.
Katanya pendekatan berkenaan turut mengambil kira kekuatan ekonomi di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi memastikan pembangunan negara dapat dilaksanakan secara lebih seimbang.
“Kita berharap menyelaraskan jaminan sosial rakyat, memudahkan urusan perniagaan serta membangunkan ekonomi wilayah berasaskan kekuatan Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, kerajaan terbuka untuk mengkaji keperluan menggabungkan SST dan GST bagi menambah baik sistem percukaian negara ke arah lebih progresif.
Menurut Anwar, kerajaan perlu mengambil kira kelebihan kedua-dua sistem berkenaan dan melakukan penyesuaian dengan keadaan semasa.