KUALA LUMPUR: Kenyataan yang disifatkan sinis dalam ucapan dasar Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak wajar dijadikan asas untuk membuat kesimpulan bahawa hubungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sedang retak.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berpandangan, setiap parti mempunyai identiti politik dan perjuangan tersendiri yang perlu dihormati.
Selain itu, tegasnya, politik masa depan juga perlu berasaskan kebijaksanaan dalam rundingan bagi mencari titik pertemuan kepentingan semua kaum.
"Jangan melihat itu sebagai satu benda (kenyataan sinis dalam ucapan) untuk dijadikan polemik. Saya nak kita lihat begini sahaja, Ahmad Zahid ajar untuk kita kembali kepada pangkal.
"Pangkalnya, kita semua mempunyai identiti tersendiri. Ada orang tidak suka sebut 'political identity', tetapi saya nak sebut tidak salah 'political identity'. Semua 'political identity' mempunyai kejelasan," katanya kepada Astro AWANI pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Ucapan Dasar Presiden pada Jumaat, yang dilihat sinis, menunjukkan seolah-olah hubungan BN dan PH seperti 'retak menanti belah'.
Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata UMNO secara terbuka memperjuangkan kepentingan Melayu, manakala parti lain seperti Pas, MCA dan MIC turut mempunyai identiti serta kelompok perjuangan masing-masing.
Beliau menambah kejelasan identiti politik itu penting bagi membolehkan rakyat memahami pendirian dan hala tuju setiap parti, namun ia tidak seharusnya membawa kepada politik yang ekstrem.
"Politiknya yang akan datang adalah politik yang bersifat kebijaksanaan dalam melakukan rundingan. Kebijaksanaan untuk mencari titik pertemuan kepentingan semua kaum dengan berteraskan keindukan yang ada tadi.
"Politik yang tidak mengamalkan dasar yang ekstrem. Politik yang membawa ketenangan dan yang paling penting politik yang membawa nilai kepedulian dan kasih sayang kepada semua," katanya.
Mengenai kerjasama 'biru-hijau' yang dilihat semakin mendapat perhatian, Reezal Merican menjelaskan gagasan itu perlu dilihat dalam konteks 'keindukan dalam kemajmukan', khususnya dalam memperkukuh perpaduan Melayu dan umat Islam tanpa menafikan hak serta kepentingan kaum lain.
Ujarnya, orang Melayu tidak terancam disebabkan kewujudan kaum lain, sebaliknya ancaman sebenar adalah apabila masyarakat Melayu sendiri berpecah dan tidak bersatu.
"Melayu tidak terancam kerana adanya kaum-kaum lain. Melayu terancam kalau Melayu itu sendiri tidak bersatu dan tidak bersama, berpecah dan berkabilah-kabilah.
"Tetapi kalau Melayu itu bersatu danmembawa wadah sebuah perjuangan yang mempunyai kesederhanaan, progresif, mempunyai daya integriti yang tinggi dan tahap kepedulian yang tinggi, pastinya ia menjadi pelindung kepada kalangan orang Melayu dalam kemajmukan tadi," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata usaha UMNO dan BN untuk kembali menerajui Putrajaya tidak boleh bergantung kepada satu parti sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama dan gandingan dengan gagasan politik lain.
Menurutnya, perkara itu selari dengan konsep "tafahum siyasi" atau persefahaman dan konsensus politik yang diketengahkan Ahmad Zahid dalam ucapan dasar beliau.
Katanya, terdapat tiga prinsip utama dalam konsep berkenaan iaitu mencari dan mengukuhkan titik pertemuan, menghormati perbezaan serta bertolak ansur antara satu sama lain.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam dalam Ucapan Dasar antaranya menyentuh mengenai 'Tafahum Siyasi', Kolaborasi Agung, Kerjasama 'Biru dan Hijau' serta Agenda Malaysia Biru, untuk gabungan itu kembali menerajui Putrajaya.