KUALA LUMPUR: UMNO mesti berdiri di atas kaki sendiri dan membina kekuatan parti tanpa bergantung kepada mana-mana parti lain untuk kelangsungan politiknya, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, UMNO tidak boleh menyandarkan masa depan parti kepada kekuatan atau perhitungan politik parti lain, termasuk Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Pas dan DAP.
“UMNO juga sangat menyedari bahawa kita tidak boleh bergantung kepada sesiapa. Tidak pada PH ataupun PN, tidak Pas apatah lagi bergantung dengan DAP.
“Hayat UMNO tidak boleh kita sandarkan kepada perhitungan parti lain atau kekuatan mereka. UMNO mesti berdiri dan berdikari sendiri, membangunkan kekuatan kita dengan cara dan strategi kita sendiri,” katanya dalam ucapan Perasmian Serentak Wanita, Pergerakan Pemuda & Pergerakan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, ibu negara hari ini.
Beliau berkata, UMNO tidak mempunyai talian hayat lain selain kebingkasan dan ketahanan diri sendiri dan UMNO mempunyai harga diri dan maruah yang perlu dipertahankan, selain tidak boleh dibeli dengan kerjasama politik yang bersifat sementara.
Tambah beliau, parti itu akan terus membangunkan kekuatannya sendiri dan tidak menjadikan bantuan atau ihsan pihak lain sebagai asas kelangsungan politik.
“UMNO perlu mengembalikan kekuatan kita sendiri agar akhirnya kita tidak perlu bergantung dengan orang lain untuk berkelangsungan. UMNO mempunyai harga diri dan maruah yang tiada timbal balasnya,” katanya.
Mohamad turut mengingatkan ahli parti supaya UMNO tidak terhutang budi dengan mana-mana parti.
“Berdiri di atas kaki sendiri supaya kita bina kekuatan kita sendiri. UMNO telah dan akan terus membangunkan kekuatan sendiri seperti sebelumnya.
“Mengharapkan ihsan dan bantuan bukan sekali-kali fikrah UMNO. Hidup jangan mengharapkan ihsan orang. Buat sendiri, kuatkan diri sendiri,” jelasnya.
Katanya lagi, UMNO juga tidak memerlukan perikatan politik baharu dan akan kekal bersama Barisan Nasional (BN).
“UMNO tidak memerlukan perikatan-perikatan politik baru. UMNO akan kekal dengan BN dulu, kini dan selamanya.
“Segala kerjasama mestilah luas. Kita tidak suka diikat, juga mengikat. UMNO mahukan kebebasan untuk bertindak sesuai dengan perhitungan politiknya,” tegasnya.