KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa semua ahli UMNO memberi ruang dan peluang kepada parti untuk menerokai dinamik baharu politik demi kelangsungan UMNO.

Mohamad berkata, biarpun tidak menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), UMNO masih diberi rezeki untuk bersama-sama mengurus negara, dan ia harus digunakan bagi mempertingkatkan prestasi, khususnya bagi mereka yang diberi mandat dalam kerajaan.

"Saya mohon kepada semua ahli UMNO supaya bagi parti peluang untuk menerokai dinamik politik semasa untuk kita pastikan supaya survival parti jadi keutamaan.

"Apa yang dilakukan pucuk pimpinan semata-mata untuk memastikan kita memulakan langkah menghadapi PRU-16, jadi bagi peluang untuk kita mengurus parti mengorak langkah perlahan-lahan.

"Kita kalah tetapi kita diberi Allah ruang untuk dapat bersama dalam kerajaan, walaupun kita cuma menang 30 kerusi.

"Tetapi parti yang menang banyak kerusi tidak ada rezeki untuk tubuh kerajaan. Ini kuasa Allah, jadi bagi kami peluang. Parti-parti lain dalam negara semua pernah duduk bersama, kita saja tak pernah dan kita lihat bagaimana.

"Bak kata Ketua Pemuda (Datuk Asyraf Wajdi Dusuki), kita bukan bergabung cuma kita bersama-sama dalam kerajaan mengurus negara.

"Kita yang diberi mandat parti untuk duduk dalam kerajaan akan cuba sedaya upaya agar prestasi kerajaan ini dipertingkatkan, terutamanya menteri dari UMNO," katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022, pada Sabtu.

Beliau juga sekali lagi menyeru seluruh anggota agar bekerja keras bersama bagi membina kembali UMNO, sekali gus dapat mempersembahkan UMNO yang baharu kepada rakyat pada PRU akan datang.

"Mari kita bina semula tembok kita yang pecah, mari kita pungut balik batu-bata bersepah yang berderai untuk kita bina semula benteng UMNO, supaya kita dapat bina benteng baharu dan akan bangunkan UMNO yang baru dalam PRU16 nanti," ujarnya.