KUALA LUMPUR: Dalam usaha menunaikan tanggungjawab demi memastikan kestabilan politik, ekonomi dan sosial dapat diwujudkan di negara ini, semua pemimpin dan ahli UMNO perlu menerima gabungan dalam Kerajaan Perpaduan dengan berlapang dada.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad menjelaskan pemimpin dan ahli UMNO juga perlu menyedari bahawa parti itu bukan lagi parti dominan dan tidak boleh bertanding di semua kerusi pilihan raya, termasuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Jelas beliau, UMNO perlu bermuafakat dan berkompromi bagi membawa kemenangan kepada semua calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan.

"Kita bukan saja perlu memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) tetapi juga membantu rakan parti dalam gabungan kerajaan memenangi kerusi masing-masing, seperti mana kita mengharapkan sokongan yang sama daripada mereka.

"Ya, saya tahu, saya faham, ia memang sukar kerana UMNO dengan sebahagian daripada parti dalam Kerajaan Perpaduan sudah lama berseteru, namun dalam mendepani kesukaran ini, ingatlah pepatah Melayu, tidak ada gunung yang tidak dapat didaki, tidak ada lurah yang tidak dapat dituruni.

"Kebangkitan dan kejayaan ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk kita capai," katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia pada Khamis.

Beliau juga menegaskan Perhimpunan Agung Wanita UMNO kali ini sangat penting untuk bersama-sama mencari formula terbaik, dalam usaha memberikan nafas baharu kepada wanita, demi meletakkan semula UMNO di persada negara.

"Saya ingin menyeru kepada seluruh jentera dan ahli Wanita UMNO, membulat tekad yang baharu. Kekecewaan yang lalu, kesedihan yang lalu, kita letak ke tepi. Kita ada tanggungjawab besar, dan kita perlu mengorak langkah ke hadapan," katanya.

Noraini menjelaskan, dengan pengalaman luas yang dimiliki, Wanita UMNO perlu bangkit berjuang dan membuktikan bahawa peranan sayap parti itu dalam menggerakkan jentera pilihan raya, bakal memberikan impak dan sekali gus memberikan kemenangan dalam PRN yang bakal tiba nanti.

Persidangan Agung Wanita UMNO dihadiri 1,170 perwakilan dari 189 bahagian mewakili 22,037 cawangan di seluruh negara.

Buat pertama kali, Persidangan Agung Wanita UMNO dihadiri wakil parti gabungan Kerajaan Perpaduan antaranya, Setiausaha Publisti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching dan Ahli Parlimen DAP dan Yeo Bee Yin.