PBS kekal perkukuh GRS, tiada cadangan sertai Gerakan Bersatu Sabah - Joniston

Joniston berkata PBS konsisten dengan pendirian untuk memperkukuhkan GRS sebagai wadah utama penyatuan parti-parti tempatan di Sabah. - Foto Astro AWANI/Nasruddin Samad
KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan pendirian untuk kekal dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan tidak akan menyertai Gerakan Bersatu Sabah (GBS) yang digerakkan oleh Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).
Ringkasan AI
- PBS Kekal Bersama GRS - Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan komitmen untuk terus bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan tidak akan menyertai gabungan baharu Gerakan Bersatu Sabah (GBS).
- Pentingnya Kestabilan Politik - PBS percaya bahawa kestabilan dan penyatuan politik Sabah hanya dapat dicapai melalui keutuhan dalam GRS, bukan melalui pembentukan gabungan baharu yang boleh membawa kepada perpecahan.
- Demokrasi Dihormati, Perpecahan Dibimbangi - Walaupun menghormati keputusan STAR dan SAPP keluar dari GRS, PBS menekankan bahawa terlalu banyak perpecahan boleh melemahkan kekuatan parti-parti tempatan dan memecah undi rakyat Sabah.
"Untuk makluman, kita tidak ada mendengar apa-apa cadangan pun untuk PBS bersama menyertai GBS kerana seperti yang saya nyatakan tadi, kita sudah mulakan GRS ini.
"PBS sebagai satu parti yang kini diterajui oleh pemimpin-pemimpin baharu melihat bahawa konsistensi dan integriti itu, apabila kita buat keputusan yang kita fikir baik untuk negeri Sabah dan rakyat, kita harus pertahankan serta kekalkan," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI, di sini semalam.
Joniston menegaskan bahawa PBS percaya GRS kekal sebagai platform terbaik untuk menyatupadukan rakyat Sabah serta mengekalkan kestabilan politik negeri melalui kerjasama harmoni dengan Kerajaan Persekutuan.
Beliau menambah, PBS banyak belajar daripada pengalaman sepanjang 40 tahun penubuhannya, dan berpendirian bahawa kestabilan serta penyatuan politik hanya dapat dicapai melalui keutuhan dalam gabungan sedia ada.
Mengulas lanjut mengenai pembentukan GBS oleh SAPP dan STAR, Joniston berkata tindakan mewujudkan satu lagi gabungan selepas keluar daripada GRS, hanya akan membawa kepada perpecahan dalam kalangan parti-parti tempatan Sabah.
Ketua Penerangan GRS itu berpandangan, walaupun pembentukan gabungan politik merupakan hak demokrasi mana-mana pihak, namun implikasinya terhadap perpaduan politik Sabah perlu diambil kira.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu itu juga menjelaskan bahawa GRS ketika ini sudah pun mendahului dalam usaha menyatupadukan parti-parti tempatan di Sabah.
"Apabila ada perpecahan, maka ada pihak-pihak tertentu yang akan mendapat manfaat daripada perpecahan ini. Jadi bagi saya, kita sudah dalam GRS dan kita teruskan.
"Walaupun untuk sekarang ini ada satu bentuk persefahaman dari segi penglibatan parti-parti nasional, tetapi itu sangat minimum. Dan yang penting ialah kita (GRS) terus dominan," kata beliau.
Ujar Joniston lagi, matlamat jangka panjang GRS ialah untuk melihat Sabah ditadbir sepenuhnya oleh parti-parti tempatan, apabila tiba masanya.
Kewujudan parti lain bukan ancaman
Ditanya mengenai tindakan SAPP dan STAR keluar daripada GRS pula, Joniston berkata keputusan kedua-dua parti tersebut adalah hak mereka dalam sistem politik yang demokratik.
Malah, jelas beliau, GRS tidak melihat tindakan penubuhan parti baharu atau keputusan keluar gabungan sebagai ancaman, sebaliknya menyifatkan ia sebagai tanda bahawa demokrasi di Sabah kekal subur.
"Pertama, kita hormati keputusan mereka. Sudah tentulah dalam politik setiap parti mempunyai aspirasi masing-masing. Tetapi realitinya, saya rasa kekuatan sebenar datang daripada kestabilan, dan bukan perpecahan.
"Apa yang saya rasa rakyat perlu fikir ialah jangan terlalu banyak perpecahan dalam kalangan kita, yang hanya akan memecahkan undi sesama sendiri terutama sekali parti-parti tempatan," ujar Joniston.
SAPP dan STAR memutuskan untuk keluar daripada GRS dan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).
Susulan itu, dua bekas parti komponen GRS itu kini dilaporkan dalam proses menubuhkan blok politik baharu dikenali sebagai GBS.
Pada 22 Oktober lalu, Astro AWANI melaporkan, Presiden STAR Datuk Seri Jeffrey Kitingan menaruh keyakinan bahawa GBS boleh terbentuk sebelum atau selepas PRN17.
Jelas bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu, gelombang perubahan kini didakwa dirasai di seluruh negeri, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa rakyat Sabah mahukan sebuah kerajaan baharu yang dibentuk oleh gabungan parti-parti tempatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


