KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam mahu parti itu diperkukuh sebagai sebuah parti berbilang kaum yang moden, berintegriti dan relevan, selain menegaskan komitmen untuk terus bersama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau berkata hala tuju kepimpinan baharu PBS akan berteraskan tiga tonggak utama iaitu perpaduan, kestabilan dan integriti, selaras tema Kongres PBS Ke-41 yang berlangsung hari ini, “Perpaduan, Kestabilan, Integriti”.
“Kita mungkin mempunyai pandangan dan pendekatan yang berbeza, tetapi matlamat kita tetap sama: memperkukuhkan PBS dan memperjuangkan masa depan Sabah,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada kongres itu di sini.
Beliau berkata perjuangan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih belum selesai dan PBS akan terus memainkan peranan aktif dalam mempertahankan hak serta kepentingan Sabah.
“Ini bermakna perjuangan kita masih panjang. PBS akan terus menjadi suara yang aktif, relevan dan konsisten dalam mempertahankan hak serta kepentingan Sabah. Kita tidak mahu MA63 sekadar menjadi slogan politik, kita mahu pelaksanaan yang nyata dan hasil yang boleh dirasai rakyat,” katanya.
Dalam aspek perpaduan, Joachim berkata PBS perlu terus menjadi rumah politik yang menyatukan rakyat Sabah tanpa mengira kaum, agama, daerah atau latar belakang.
Beliau berkata parti itu akan memperkukuh penyertaan masyarakat dengan memperluas penyertaan Melayu dan Bumiputera Islam, mendapatkan kembali keyakinan masyarakat Cina serta membuka ruang lebih luas kepada golongan profesional, wanita dan generasi muda.
“PBS bukan milik satu kaum. PBS milik semua yang percaya kepada perjuangan Sabah,” katanya.
Mengenai GRS, katanya PBS akan terus menjadi rakan yang setia, konstruktif dan berprinsip dalam gabungan itu.
Joachim berkata kesetiaan PBS dalam gabungan itu tidak bermaksud parti berkenaan kehilangan identiti, sebaliknya akan terus menyuarakan kepentingan Sabah termasuk MA63, pembangunan luar bandar, pendidikan, ekonomi, peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat.
“Kita bersama GRS, tetapi kita tetap PBS. Dalam aspek integriti, jawatan dalam PBS bukan hadiah sebaliknya amanah yang menuntut pemimpin bekerja, turun padang, mendengar masalah rakyat dan mencari penyelesaian,” katanya.
-- BERNAMA