KUALA LUMPUR: Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan parti tersebut secara rasminya telah didaftarkan sebagai parti politik pada 8 Julai 2021. 

Bahkan, Ahli Parlimen Langkawi itu turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang akhirnya meluluskan pendaftaran parti berkenaan.

Menurutnya, kelulusan telah diberikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

“Kita berterima kasihlah kepada kerajaan yang telah mendaftar parti Pejuang ini dan kami berpendapat bahawa cara kami bukanlah untuk menimbulkan masalah.

BACA: Mahkamah perintah Menteri Dalam Negeri putuskan rayuan pendaftaran Pejuang dalam 14 hari

“Cuma kita buat melalui undang-undang, tiada sebab kenapa kami tidak boleh didaftar. Jadi akhirnya parti ini sudah didaftar,” katanya dalam sidang media secara maya pada Khamis.

Pendaftaran PEJUANG Tanah Air diluluskan hari ini

Difahamkan, kelulusan kepada parti tersebut dibuat pada hari terakhir selepas Mahkamah Tinggi memerintahkan Hamzah membuat keputusan berhubung rayuan Pejuang untuk mendaftar parti itu dalam tempoh 14 hari.

Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Hamzah membuat keputusan berhubung rayuan Pejuang untuk mendaftar parti itu dalam tempoh 14 hari bermula 25 Jun 2021.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membenarkan permohonan Pejuang untuk semakan kehakiman terhadap tindakan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang ketika itu belum membuat keputusan terhadap rayuan mereka untuk mendaftarkan parti itu.

Dalam penghakimannya, Ahmad Kamal berkata responden pertama (Menteri Dalam Negeri), tidak boleh mengambil masa terlalu lama untuk memutuskan rayuan tersebut kerana perkara yang terlibat tidak terlalu rumit.

Bahkan, beliau juga berpendapat bahawa masa yang diambil oleh Menteri Dalam Negeri dalam memutuskan rayuan itu, kira-kira lima setengah bulan, dari 8 Januari 2021, adalah melebihi masa yang diperlukan.

Pada 2 Februari, Pejuang yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri berhubung pendaftaran parti itu setelah permohonan mereka ditolak.

Hamzah berkata permohonan pendaftaran Pejuang ditolak pada 6 Jan lepas berdasarkan peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta Pertubuhan 1966 dan parti itu boleh mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan.