Proses memperkenan lantikan Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu telah menjejas kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan, menurut kenyataan dikeluarkan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Lantikan itu juga, menurut kenyataan tersebut, tidak mengikut kehendak Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor dan bertentangan dengan amalan prinsip demokrasi berparlimen.

MPP, dalam pada itu, turut melahirkan rasa kesal dengan layanan yang diberikan pihak Istana terhadap pencalonan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang telahpun memenuhi kehendak Undang-undang Tubuh Negeri dengan sokongan majoriti 30 ahli Dewan Undangan Negeri.

“MPP juga tidak bersetuju dengan cara pihak Istana menangani proses pencalonan yang melibatkan Dr Wan Azizah sehingga beliau langsung tidak dipanggil mengadap walaupun mempunyai sokongan majoriti yang jelas,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Walau bagaimanapun, sebagai mengambil kira keperluan menyelesaikan isu pelantikan Menteri Besar Selangor ini secepat mungkin demi menjaga kepentingan rakyat, ia telah memutuskan untuk menghormati permintaan Dr Wan Azizah menarik diri daripada dicalonkan agar isu ini dapat diselesaikan segera.

“Berikutan itu, MPP juga bersetuju dengan cadangan yang dibawa oleh Dr Wan Azizah agar Azmin dikemukakan sebagai calon Menteri Besar supaya pencalonannya itu adalah dari parti mengikut tuntutan amalan demokrasi.

“Ini selaras dengan pendirian MPP bahawa kemuliaan perlembagaan dan keluhuran undang-undang perlulah dipertahankan sepanjang masa.

"MPP menegaskan juga bahawa proses yang tidak menepati kehendak undang-undang ini tidak boleh dijadikan satu duluan (precedent) di masa hadapan,” katanya.

Dr Wan Azizah mengumumkan menarik diri daripada pencalonan Menteri Besar Selangor setelah pihak Istana Selangor memberi surat rasmi pelantikan jawatan tersebut kepada Mohamed Azmin petang tadi.