Kuala Lumpur: Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri ke-9 diharap akan menghentikan polemik politik dalam negara.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kerajaan mesti segera mengembalikan tumpuan pada kerja-kerja menjaga kesihatan dan kebajikan rakyat, serta membina semula ekonomi negara.

"Bersatu juga berharap perlantikan ini akan menghentikan polemik politik dalam negara.

"Kerajaan mesti segera mengembalikan tumpuan kerja kepada menjaga kesihatan dan kebajikan rakyat, serta membina semula ekonomi negara.

"Rakyat sudah penat dengan kemelut politik terutama pada waktu pandemik ini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.



Agong perkenan lantik Ismail Sabri sebagai PM ke-9

[LAPOR LANGSUNG] Ismail Sabri PM ke-9

BACA: Agong perkenan lantik Ismail Sabri sebagai PM ke-9

BACA: "Selamat jalankan amanah, negara perlukan kestabilan" - Hishammuddin

Wan Saiful dalam masa sama berkata, Bersatu mendoakan Ismail terus diberi panduan Allah sepanjang menjalankan tanggungjawab mengemudi negara berteraskan kehendak Perlembagaan dan prinsip-prinsip tadbir urus yang berintegriti, telus, menghormati pengasingan kuasa, melindungi kebebasan kehakiman, dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan.

"Beliau merupakan calon yang disepakati oleh Bersatu dan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional, atas keyakinan kami bahawa beliau akan dapat membawa negara ke arah kestabilan demi meneruskan usaha-usaha yang telah dimulakan oleh kerajaan Perikatan Nasional," katanya lagi.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, keputusan itu ditetapkan Seri Paduka Baginda selepas Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 Ahli Dewan Rakyat.