Skip to main content

Politik

Peletakan jawatan MP Petaling Jaya: Tiada masalah, lebih setahun ‘hilang’ urusan parti - Anwar

Anwar ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan di Kuarters TUDM, Sungai Besi, di ibu negara, pada Jumaat. - Foto Astro AWANI
Anwar ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan di Kuarters TUDM, Sungai Besi, di ibu negara, pada Jumaat. - Foto Astro AWANI

Advertisement

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung melepaskan jawatan Ahli Parlimen sebagai perkara yang tidak menjadi masalah sekiranya beliau sudah hilang minat dalam perjuangan parti.

Menurut Presiden PKR itu, Chean Chung sudah lebih setahun tidak menghadiri mesyuarat mahupun kongres PKR, sekali gus menunjukkan beliau sudah lama tidak aktif dalam urusan parti.

"Dah lama dah... baru tahu. Dia pun dah lama tak pernah hadir mesyuarat parti, kongres pun tak hadir.

"Jadi sesuailah kalau dah tak minat, tak ada masalah. Pergi dengan baik, terima kasih atas sumbangan selama ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan di Kuarters TUDM, Sungai Besi, di sini, pada Jumaat.

Tegas Anwar, keputusan peletakan jawatan itu tidak akan menjejaskan pelaksanaan projek pembangunan mahupun peruntukan untuk kawasan Parlimen Petaling Jaya.

Menurutnya, pelbagai projek termasuk pembinaan dan penyelenggaraan jalan, sekolah serta rumah ibadat akan terus dilaksanakan seperti yang dirancang.

"Kalau nak bangkitkan soal peruntukan… peruntukan kawasan tak terjejas. Sekolah, surau, masjid, kuil, jalan, apa-apa itu kita telah pastikan projek berjalan.

"Tidak perlu Ahli Parlimen. Dia nak bagi pandangan, kita boleh terima, tapi tidak bermaksud Ahli Parlimen itu berhenti, projek juga terhenti. Tak betul," katanya.

Anwar turut menegaskan kesinambungan projek pembangunan tidak seharusnya terhenti hanya kerana berlaku perubahan dalam kalangan wakil rakyat, memandangkan pelaksanaannya telah lama menjadi sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan tindakan undang-undang berkaitan peletakan jawatan berkenaan, Anwar berkata perkara itu diserahkan kepada Setiausaha Agung parti dan Jawatankuasa Perundangan untuk tindakan lanjut.

Pada Jumaat, Chean Chung mengumumkan meletak jawatan tanpa syarat sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya menerusi satu sidang media di pejabatnya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Chean Chung meraih majoriti besar sebanyak 50,575 undi dalam saingan enam penjuru untuk Parlimen Petaling Jaya.

Pada 12 Jun lalu, Chean Chung, mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berkuat kuasa serta-merta selepas 18 tahun bersama parti.
 

Must Watch Video

Advertisement