POLITICS
Pemilihan PKR: Anwar ingatkan jangan bermusuh

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan ahli parti supaya tidak bermusuhan walaupun berlaku persaingan sengit atau perbezaan pendapat semasa pemilihan. - Foto BERNAMA
LANGKAWI: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan ahli parti supaya tidak bermusuhan walaupun berlaku persaingan sengit atau perbezaan pendapat semasa pemilihan.
Ringkasan AI
- Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan ahli parti agar tidak bermusuh walaupun wujud persaingan semasa pemilihan.
- Beliau menasihatkan semua calon dan penyokong menjaga adab, menghargai jasa lama, dan mengelak kenyataan yang merendahkan pihak lain.
- Anwar juga mahu jentera parti diperkukuh dan usaha menambah keahlian dipergiat di peringkat akar umbi.
"... yang bersaing (jawatan) timbalan, naib presiden, pemuda, wanita adalah dalam kalangan sahabat lama dan setia dan sebahagian besar adalah pejuang asal yang banyak berjasa," katanya selepas merasmikan pejabat PKR Langkawi di sini, hari ini.
Beliau berkata dalam berkempen setiap kenyataan perlu dikeluarkan secara berhati-hati dan jangan sesekali menafikan jasa serta pengorbanan mereka yang sudah lama berkhidmat dalam parti.
Perdana Menteri berkata berdasarkan pemerhatiannya pada senarai calon untuk pemilihan kali ini, ramai yang layak untuk dilantik bagi memegang jawatan tertinggi dalam parti.
"Saya tengok senarai, ramai cukup layak. Kalau ada dua jawatan timbalan, dua orang saya sokong. Kalau tengok semua ada rekod yang baik.
"Tapi kalau dah pilih A atau B atau C, janganlah rendahkan martabat orang lain. Dalam perjuangan kena ada adab dan akhlak dan jangan lupa teras MADANI...ini soal nilai, kena jaga sebagai teras. Soal akhlak jadi keutamaan," katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan supaya jentera parti diperkukuh dan usaha memperkasakan keahlian dipergiat selain kegiatan untuk menambah ahli baharu perlu lebih proaktif khususnya di peringkat ranting.
"Semua perlu bekerjasama dan harus beri tumpuan kepada perubahan, ukurannya adalah keanggotaan, kegiatan ranting, kalau tidak, tidak akan ada kemajuan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami