KUALA LUMPUR: Pemilihan PKR 2022 yang memasuki hari kesembilan hari ini menyaksikan proses pengundian di Selangor iaitu di cabang Hulu Selangor ditangguhkan dan suasana sedikit 'tegang' di cabang Shah Alam.

Koordinator Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Selangor Mazli Saring berkata pemilihan di cabang Hulu Selangor terpaksa ditangguhkan berikutan penyediaan peralatan seperti kerusi dan meja tidak diuruskan dengan baik.

"Ia terpaksa ditangguhkan supaya tiada sebarang masalah yang tidak diingini berlaku susulan masalah prasarana. Kami akan berbincang dengan JPP dan pihak berkaitan sebelum memutuskan tarikh baharu bagi pengundian di cabang berkenaan," katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, proses pengundian di cabang Shah Alam pula mengalami sedikit situasi tegang ekoran salah faham perayu undi yang dikatakan berkempen di kawasan larangan untuk berbuat demikian.

Tinjauan Bernama di pusat pengundian di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini mendapati salah faham yang berlaku sekitar 10.25 pagi tadi itu berikutan seorang perayu undi yang memasuki kawasan zon larangan untuk berkempen walaupun ia tidak dibenarkan di zon membuang undi secara fizikal.

Cabang berkenaan melibatkan pertembungan tiga penjuru antara Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri Rodziah Ismail, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik Dr Yaacob Sapari dan pendatang baharu cabang itu, Wan Amierrul Ikhwan Mohd Naser.

Mengulas mengenai perkara berkenaan, Mazli berkata bagaimanapun situasi tersebut berjaya dikawal dan diselesaikan dengan cepat tanpa mengganggu kelancaran proses pengundian.

Katanya pengundian di 21 cabang lain seperti Kuala Langat, Kapar, Klang, Sepang dan Sungai Buloh berjalan dengan lancar dengan anggaran lebih 20,000 ahli PKR keluar mengundi secara fizikal hari ini.

Selain itu, cabang Ampang turut mencuri tumpuan dalam pengundian di Selangor berikutan pertembungan antara dua selebriti tanah air iaitu pelakon dan penerbit Datuk Hans Isaac dan penyanyi rap Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet.

BACA: Pemilihan PKR 2022: Iltizam Hans Isaac, Altimet sertai politik

Mereka berdua bersaing untuk jawatan Ketua Cabang PKR dan perjalanan proses pengundian di cabang tersebut juga lancar tanpa sebarang provokasi.

Seramai 93,085 ahli PKR telah mengundi dalam Pemilihan PKR 2022 setakat ini, termasuk 76,932 yang mengundi secara dalam talian sejak 18 Mei sehingga semalam.

Pemilihan PKR 2022 yang menyaksikan seramai 11,282 calon merebut pelbagai jawatan di peringkat pusat, cabang dan sayap akan menutup tirai esok bagi peringkat negeri dengan pengundian fizikal di Perak, Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA