Skip to main content

Malaysia

Ketua jurulatih beregu lelaki remaja keluar hospital, BAM tunggu nasihat doktor

[TB]_Pang Cheh Chang BAM_FB BAM
Semalam, Cheh Chang dilaporkan hampir pitam ketika membimbing beregu lelaki Wong Tze Han-Teoh Chong Yee menentang Jason Afandy Wong-Lum Chee Kian pada kejohanan remaja kebangsaan itu. - Gambar/ BAM
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki remaja negara Pang Cheh Chang dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pagi ini, selepas hampir pitam ketika Kejohanan Badminton Bawah 19 Tahun Kebangsaan semalam.

Timbalan Presiden I Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk V Subramaniam berkata beliau masih belum dapat memastikan punca sebenar situasi melanda Cheh Chang ketika membimbing beregu negara pada kejohanan berlangsung di Dewan Persatuan Badminton Kedah di Alor Setar. 

“Saya baru dimaklumkan beliau sudah dibenarkan keluar (hospital) dan pergi bersarapan.

“Jadi, saya akan menghubunginya dan mahu mengetahui keputusan akhir doktor,” katanya kepada pemberita selepas sesi media prakejohanan Malaysia Super 100 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan mengenai tindakan selanjutnya termasuk sama ada Cheh Chang kembali menjalankan tugas kejurulatihan sepanjang kejohanan yang masih berlangsung hingga 19 Sept ini, akan dibuat selepas mengambil kira nasihat doktor, 

Menurut Subramaniam, kesihatan dan proses pemulihan jurulatih berusia 52 tahun itu akan diberi keutamaan.

Subramaniam berkata BAM juga akan mengatur pemeriksaan kesihatan menyeluruh untuk Cheh Chang sebaik beliau kembali ke Kuala Lumpur.

Semalam, Cheh Chang dilaporkan hampir pitam ketika membimbing beregu lelaki Wong Tze Han-Teoh Chong Yee menentang Jason Afandy Wong-Lum Chee Kian pada kejohanan remaja kebangsaan itu.

Beliau kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, Subramaniam berkata kira-kira 354 pemain dari 17 negara dijadual menyertai Malaysia Super 100 yang akan berlangsung dari 13 hingga 18 Okt di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri, Johor.

Beliau turut berharap Malaysia mampu meraih dua kejuaraan pada kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan USD120,000 (RM491,796).

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement