KUALA LUMPUR: Pengarah dan pelakon terkenal, Datuk Hans Isaac menuntut jawapan daripada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR berhubung keputusan Pemilihan PKR 2022 peringkat cabang Ampang yang menyaksikan beliau tewas kepada Altimet selepas kiraan semula dibuat.

Calon jawatan Ketua Cabang Ampang itu, yang menang selepas pemilihan semula dibuat pada 29 Jun lalu berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada JPP hari ini dan memberi tempoh seminggu untuk jawatankuasa itu mengemukakan bukti terhadap beberapa isu teknikal.

Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 51, bagaimanapun menegaskan beliau akur dengan sebarang keputusan sekiranya penjelasan yang diberikan JPP kelak menunjukkan proses pemilihan dibuat secara adil dan berintegriti.

"Apa saya buat hari ini saya akan hantar surat kepada pihak JPP untuk enam atau tujuh persoalan teknikal, dan saya harap mereka akan balas kepada saya dengan bukti.

"Kalau betul-betul bukti itu ada dan apa yang kami alami beberapa minggu ini benar, saya akur dengan keputusannya.

"Tetapi saya rasa sebagai ahli parti dan akar umbi, dan pengundi-pengundi yang menyokong saya diberi jawapan bagaimana benda ini berlaku. Sebab setiap undi masyarakat dikira, dan mereka berusaha untuk turun mengundi, bukan sekali (pemilihan) tetapi dua kali.

"Jadi saya tunggu dan lihat apa yang pihak JPP akan balas kepada saya, tetapi hari ini saya akan hantar surat itu sebab saya baru tahu semalam. Saya sudah jangkakan perkara ini akan berlaku sebab sudah beberapa minggu perkara ini asyik bertukar (kemenangan Ketua Cabang Ampang)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan Hans menang jawatan Ketua Cabang Ampang selepas pemilihan kali kedua dijalankan dengan memperoleh 748 undi, menewaskan pencabar terdekat Altimet dengan perbezaan dua undi, iaitu 746 undi.

Sebelum proses pemilihan kedua dijalankan, Daing Muhammad Reduan Bachok dilapor menewaskan Hans dan Altimet apabila beliau menerima jumlah undian tertinggi iaitu 942 undi.

Bagaimanapun, berikutan dakwaan pelanggaran etika dalam pemilihan cabang berkenaan, JPP PKR telah menubuhkan panel siasatan yang kemudiannya mendapati Daing Muhammad terlibat dalam kegiatan "membeli undi”.

BACA: Pemilihan PKR 2022: Hans Isaac nafi terlibat dengan politik wang raih undi

Mengulas lanjut, Hans turut menceritakan semula kronologi proses pengiraan pada pemilihan kali kedua, yang didakwa menyaksikan beliau telah memenangi jawatan Ketua Cabang Ampang.

Jelas beliau, kemenangan tersebut termasuk melibatkan pengiraan undi ragu kali pertama sebelum calon lain didakwa mengaku 'tewas' walaupun masih terdapat 50 lagi undi ragu yang belum dikira.

"Jadi kami sign (tanda tangan borang keputusan), dan ia selesai. (Tetapi) 24 jam kemudian itu mereka cakap mereka ada satu (isu) teknikal, lupa untuk keluarkan undi daripada nombor saya, dan sekarang Altimet pula menang.

"Jadi kena buka lagi 50 undi baki, dan kami buka balik... saya menang juga. Kemudian dengar ada isu teknikal ke apa, dan selepas itu saya kalah. Saya tahu semalam saya kalah," jelas Hans.

Sehubungan itu, Hans sekali lagi mengulangi pendirian dan menyerahkan sepenuhnya kepada JPP untuk mengemukakan penjelasan terhadap isu yang berlaku.

Sebagai akar umbi, Hans berkata apa yang dilakukan adalah untuk memastikan perubahan boleh dilakukan di Ampang.